Tuesday, November 4, 2008

ARTIKEL GERAKAN ISLAM:

Mencari Pendakwah yg hakiki

Salam,sahabat ,artikel ini telah diambil dari blog ust Halim Abdullah utk kemaslahatan semua.Apa-apa masalah,hal ,pertanyaan boleh tinggalkan komen dan saya akan bermunaqashah dgn pemilik asal artikel ini atau diselia terus oleh ust Halim. selamat membaca...

Hasan Al-Banna (1906-1949). Pengasas dakwah Ikhwan Muslimin.

Sejak posting “Mencari Ulamak Dakwah yg hakiki”, ramai yg bertanya bagaimana pula dengan Doktor Dakwah, Engineer Dakwah dll yang hakiki. Nanti saya akan cuba respon kepada soalan-soalan tersebut. Sebagai permulaan, elok saya tulis secara umum dahulu merangkumi apa sahaja bidang pekerjaan.

Apa sahaja bidang pekerjaan kita seperti guru, peguam, petani dsb, ia adalah satu bentuk pengkhususan. Jika ianya penting untuk umat maka jatuh hukumnya menjadi Fardhu Kifayah. Berbeza dengan Dakwah, seperti menuntut ilmu asas, ia bukan satu pengkhususan, akan tetapi ia wajib dilaksanakan oleh setiap orang Islam jika Syariat Allah belum ditegakkan. Oleh itu hukumnya adalah Fardhu Ain.

Allah swt menjadikan Dakwah sebagai sebaik-baik profesyen bagi seseorang yang mencari dan menuju keredhaanNya. FirmanNya bermaksud, “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya dari orang yang Berdakwah (manusia) kepada Allah, beramal soleh dan berkata ‘Sesungguhnya aku seorang Islam’?” (Al-Quran). Dengan ini, perkataan dan ucapan seorang Pendakwah lebih baik dari perkataan para peguam, petani, doktor, akauntan dll.

Sebaik-baik amal ialah amal yang sangat diperlukan ketika itu atau yang mengikut keutamaan. Contohnya ketika hampir musim peperiksaan, amal yang terbaik atau keutamaan ketika itu ialah mengulangkaji pelajaran. Bahkan kata Ibnu Qayyim, diantara strategi Syaitan dalam memesong manusia selain mengajaknya kufur, bid’ah, melakukan dosa besar dan kecil ialah merosakkan aturan keutamaan dalam hidup seseorang, hingga dia tidak tahu lagi apakah yang sepatut didahulukan dan apa yang patut dikemudiankan. Jika kita melihat ciri-ciri para Mujaddid setiap kurun, ternyata bahawa mereka adalah penyelesai kepada isu yang dihadapi ummah ketika itu. “Sesungguhnya Allah akan membangkitkan disetiap permulaan kurun seorang yang akan memperbaharui (memberi nafas baru) untuk umat ini akan urusan agama mereka” (Hadis). Mujaddid Pertama, Umar Abdul Aziz (99H), seorang Khalifah yang berciri Khulafak Rasyidin dibangkitkan ketika hal keadaan dalam negara Islam dan umatnya masih utuh kecuali tingkahlaku ramai khalifah-khalifahnya. Mujaddid Kedua, Imam As-Syafie (199H), tokoh ulamak fiqh zamannya dan pengasas ilmu Usul Fiqh dibangkitkan ketika Islam berkembang pesat ke banyak pelusuk dunia dan bertemu dengan berbagai permasalahan kehidupan masyarakat yang sangat memerlukan ijtihad yang berbagai pula.

Di hari ini, semua kita tanpa mengira apa latarbelakang pengkhususan, mesti sepakat memahami apakah keutamaan hidup kita yang sebenar? Apakah permasalahan terbesar yang umat sedang hadapi di dunia amnya dan d Malaysia khususnya? Permasalahan terbesar umat Islam hari ini tidak lain selain hilangnya identiti Islam di dalam diri dan jiwa yang mengakibatkan runtuhnya sistem Islam di bumi dan negara mereka. Oleh itu profesyen atau tugas terpenting pula ialah Dakwah iaitu mendidik diri dan masyarakat sekeliling ke arah menuju keredhaan Allah swt dengan menegakkan kembali sistemNya di muka bumi dan mendominasikan agamaNya mengatasi agama-agama yang lain. “Dialah yang mengutuskan RasulNya dengan Hidayah dan Agama yang benar, agar Dia mendominasikan Agama tersebut mengatasi agama-agama yang lain walaupun orang-orang kafir tidak menyukai” (AL-Quran).

Oleh itu, seorang guru tidak sepatutnya tenggelam dengan rutin karier hariannya dengan timbunan buku dan aktiviti ko-kurikuum semata-mata, bahkan berusaha mendidik seramai mungkin pelajar dalam usrah, qiyamullail, rehlah dsb sehingga terbentuk individu-individu yang kuat memahami dan menghayati Islam yang sebenar. Seorang doktor tidak sepatutnya hanyut dengan karier hariannya mengubati sakit fizikal pesakit demi pesakit di klinik atau hospital, akan tetapi yang lebih penting ialah bagaimana dia dapat bersama dengan pendakwah-pendakwah lain bekerja keras atau memimpin usaha mengubati hati dan jiwa individu dan masyarakat Islam yang sedang parah pada hari ini hingga jasad Khalifah Islam yang besar dan bertahan lebih 1300 tahun runtuh tidak bermaya. Hakikat dan kesedaran yang sama ingin kita tanamkan dijiwa dan kefahaman seorang kerani, pegawai, peguam, pensyarah dan selain mereka. Nilaian prestasi hidup mereka yang sebenar terletak kepada perlaksanaan Fardhu AIn terlebih dahulu sebelum prestasi Fardhu Kifayah mereka.

Akhir sekali, setiap kita yang bekerja saban hari dan memiliki kesedaran yang tinggi terhadap apa yang kami huraikan di atas pasti akan menghadapi dua perkara besar di hadapan iaitu (1) fokus, (ii) masa. Dalam kesibukan belajar atau bekerja dengan karier masing-masing, sering fokus kita terhadap tugas-tugas Dakwah terganggu. Ramai orang pula dapat menjaga fokusnya, namun setelah tenggelam dengan pelajaran dan pekerjaan, saki baki masa yang terluang untuk Dakwahnya amat menyedihkan. Akhirnya tidak jauh berbeza di dalam masyarakat diantara mereka yang sedar, separuh sedar dengan mereka yang lalai dari tanggungjawab memikul tugas para Rasul yang mulia ini … Dakwah kepada Allah swt.

www.inijalanku.wordpress.com

0 comments: