Ustaz Mustafa As-Siba’ie dlm kenangan
Salam,sahabat ,artikel ini telah diambil dari blog ust Halim Abdullah utk kemaslahatan semua.Apa-apa masalah,hal ,pertanyaan boleh tinggalkan komen dan saya akan bermunaqashah dgn pemilik asal artikel ini atau diselia terus oleh ust Halim. selamat membaca...Pada 3 Oktober lalu, genap 44 tahun perginya Ustaz Mustafa Sibaie ke rahmatullah setelah memenuhi hidupnya dengan perjuangan Islam. “Dari kalangan orang-orang beriman, ada lelaki yang benar jujur janji mereka kepada Allah. Maka sebahagian mereka telah syahid atau meninggal dunia dan sebahagian lagi sedang menunggu dan mereka tidak merubah sedikit pun janji mereka itu. Supaya Allah membalas orang-orang yang benar jujur kerana kejujuran mereka (menunaikan janji) dan mengazab orang-orang munafik jika Dia kehendakki atau Dia memaafkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih”. (Al-Quran)
Ustaz Mustafa Sibaie, Muraqib Am (Ketua) Ikhwan Muslimin Syria Pertama.
Dengan pengertian-pengertian di atas, Imam Hasan Al-Banna mendidik para lelaki dan wanita sehingga mereka mengetahui nilai sebenar hidup ini, lalu mereka berniaga dengan Allah swt, menjual diri mereka dan membeli keredhaan dan syurgaNya, agar merek beruntung dengan perniagaan seperti ini. Matlamat mereka ialah Allah. Rasul jadi teladan mereka. Al-Quran perlembagaan mereka. Jihad jalan mereka. Mati dijalan Allah setinggi-tinggi cita-cita mereka. Terus menerus mereka mengulangi pengertian-pengertian ini dengan hati yang benar, jujur, bersih dan ikhlas kerana Allah, lalu mereka mendapat apa yang mereka idamkan.
Sungguh Dakwah Islam hari ini berdepan dengan serangan berterusan dari pihak musuh yang sentiasa mengintai peluang demi peluang menghancurkan Agama ini. Rencana jahat musuh-musuh ini berterusan dan akan terus berterusan. Oleh itu para Pendakwah Islam mesti celim dan cerdik memahami hakikat peranan mereka di setiap pelusuk dunia, merasakan Allah sentiasa bersama mereka yang berjuang, kemenangan dari Allah, walau sejauh mana, ia semakin tiba, agar mereka tidak dihantui perasaan kecewa dan takut.
Mustafa As-Sibaie adalah salah satu contoh mujahid yang menjual dirinya kepada Tuhannya untuk membeli Syurga dan keredhaanNya. Beliau juga seorang faqih yang berjuang mempertahankan Kitab Allah dan Sunnah Nabi saw.
Muatafa Husni As-Sibaie dilahirkan di bandar Hims, Syria pada tahun 1915 (1333H). Beliau dibesarkan dalam keluarga dan keturunan ulamak sejak ratusan tahun. Ayah dan datuk-datuknya adalah para khatib di Masjid Agung di Hims sejak generasi demi generasi, zaman berzaman. Beliau banyak dibentuk oleh ayahnya seorang alim, mujahid, khatib bernama Asy-Syeikh Husni As-Sibaie dimana beliau menghafaz Al-Quran sebelum masuk ke alam persekolahan lagi. Beliau tamat sekolah menengah ketika berumur 15 tahun.
Disamping mengambil berat tentang ilmu, beliau turut terlibat dalam perjuangan menentang Penjajah Perancis ketika itu. Beliau mengedar risalah, berceramah, memimpin demonstrasi di bandar Hims ketika berumur 16 tahun !. Pada tahun 1931 beliau dipenjarakan atas tuduhan mengedar risalah menentang pentadbiran Perancis. Beliau dipenjara kali kedua kerana menyampaikan ceramah menentang penjajah.
Ustaz Mustafa Sibaie, Muraqib Am Ikhwan Muslimin Syria ketika bertemu Ustaz Amin Al-Husaini (tiga dari kiri), Mufti Palestin dalam usaha memerangi Yahudi dan Barat yang menjajah Palestin.
Pada tahun 1933 beliau ke Mesir menyambung pengajiannya di bidang Syariah di Universiti Al-Azhar. Pada tahun 1941, beliau menyertai demonstrasi di Mesir menentang Penjajah British menyebabkan beliau dipenjara bersama-sama teman sekuliah seperti Masyhur Ad-Domin, Ibrahim Al-Qattan, Hasyim AL-Khazindar, Faris Hamdani, Ali Ad-Duik dan Yusuf Al-Musyari selama lebih kurang 3 bulan. Beliau mendapat ijazah Ph.D pada tahun 1949.
Asy-Syeikh Mustafa As-Sibaie sebagai seorang alim, faqih dan mujahid hidup dalam jihad disegenap hayatnya. Ketika di Mesir ketokohannya sebagai seorang alim menonjol di tengah-tengah ulamak di sana. Ketika itu beliau bertemu dengan Imam Hasan Al-Banna dan hubungan tersebut berterusan walau setelah beliau tamat dan pulang ke Syria. Sekembalinya beliau di Syria, para ulamak, pendakwah dan pimpinan persatuan-persatuan bertemu dan memutuskan untuk menyatukan saf mereka dan bekerja di dalam satu jemaah. Dengan perjumpaan ini, yang turut dihadiri oleh Al-Ustaz Said Ramadan Al-Buty selaku wakil dari Mesir, maka tertubuhlah jemaah Ikhwan Muslimin disegenap pelusuk Syria pada tahun 1942. Pada tahun 1945, Mustafa As-Sibaie dipilih menjadi Muraqib Am yang pertama bagi Ikhwan Muslimin Syria.
Ustaz Mustafa As-Sibaie telah menggarsikan objektif, tugas dan medan amal Dakwah di dalam bukunya “Durus fi Dakwah Ikhwan Muslimin” dengan mengajak Ikhwan Syria kearah membuat pembaikan dalam politik dan negara, menghapuskan kesan-kesan negatif Penjajahan, menentang kezaliman terhadap golongan pekerja dan petani, menubuh sekolah, kelab sukan, pasukan pengakap, markaz belia, khidmat kesihatan, sosial dan kebajikan dan mengunjungi kampung dan pendalaman.
Hasan Al-Banna menulis surat kepada Asy-Syeikh Mustafa As-Sibaie dengan katanya, “Yang dihormati Al-Akh Al-Mujahid Asy-Syeikh Mustafa As-Sibaie, Muraqib Am Ikhwan Muslimin di Dimasq (Damsyik). Jihadmu yang disyukuri dalam isu Mesir yang dijajah, usahamu yang gigih dalam mengajak umat Syria menangani isu umat Arab dab Islam adalah sebenar-benar tanda betapa tingginya fikrah Jihad di hati sanubarimu. Itu juga sebesar-besar kebanggaan yang menggilap nama Ikhwan Muslimin di seluruh pelusuk mukabumi ini. Moga Allah hidupkan Syria yang kaya dengan Jihad, hidupkan kamu semua yang gagah perkasa, mengagungkan Arab dan Islam kerana Jihad kamu”.
Apabila PBB meluluskan penubuhan negara haram baru bernama “I.s.r.a.e.l”, para mujahideen Ikhwan Syria mula bergerak ke Palestin di bawah pimpinan Al-Mujahid Asy-Syeikh Mustafa As-Sibaie, Muraqib Am Ikhwan Muslimin Syria untuk membantu jihad Ikhwan Muslimin Mesir menentang Yahudi dan penubuhan “I.s.r.a.e.l”. Mereka bertemu di pos Qatnah dimana Mustafa Sibaie adalah komander pos tersebut. Hasan Al-Banna sering menziarahi mereka di sana. Hasan Al-Banna meminta pemerintah negara-negara Arab agar tidak terlibat secara resmi dan terbuka dalam Jihad tersebut dan menyerahkan urusan Jihad ini kepada Ikhwan Muslimin dan para mujahideen yang bergabung. Ini adalah agar Yahudi tidak mendapat simpati dunia kerana menganggap ia hanya peperangan kumpulan dengan kumpulan semata-mata. Akan tetapi 7 buah negara Arab menghantar tentera mereka dan tewas dalam semua operasi. Tatkala Yahudi dan “I.s.r.a.e.l hampir tewas dan ibu negara Tel Aviv hampir jatuh ke tangan para Mujahideen, berlaku khianat para pemerintah Arab apabila mereka menerima perdamaian dan genjatan senjata atas arahan Penjajah, kemudian memenjara para Mujahideen dan kemuncaknya membunuh Imam Hasan Al-Banna pada 12 Februari 1949.
Ustaz Mustafa Sibaie (kiri) dan Imam Hasan Al-Banna di pos Qatnah dalam jihad melawan Yahudi 1948. Selepas Jihad Palestin 1948 dihentikan oleh pemerintah Arab atas arahan Penjajah, Hasan Al-Banna dibunuh dalam bulan Februari 1949.
Pada tahun 1952 perang Terusan Suez meletus diantara Mesir berdepan dengan tentera British, Perancis dan Israel yang ingin menguasai terusan terpenting di dunia. Asy-Syeikh Mustafa As-Sibaie memohon kebenaran Kerajaan Syria agar membenarkan Ikhwan Muslimin Syria untuk ke Mesir dan bergabung dengan para mujahideen dikalangan Ikhwan Muslimin Mesir di sana. Sebaliknya, datang arahan dimana beliau dipenjara dan pertubuhan Ikhwan Muslimin Syria diharamkan.
Sebaik keluar dari penjara, beliau berkerja memerangi kerosakan dalam masyarakat melalui tarbiyah umat (mendidik masyarakat) dengan manhaj yang sahih, manhaj Ikhwan Muslimin yang menitik beratkan pentarbiyahan individu muslim, keluarga Islam, masyarakat Islam agar menghasilkan buah berbentuk Kerajaan Islam yang melaksanakan Syariat Allah, menjalankan hukam hakamnya, memelihara kepentingan negara dan rakyat, mebenteras keburukan dan penyelewengan serta memerangi kesesatan. Beliau terlibat dalam memasukkan bahan-bahan pelajaran Islam ke dalam sukatan pelajaran negara, menubuhkan Kuliah Syariah di Universiti Damsyiq, Syria, menjayakan projek ensaiklopedia Fiqh Islami yang banyak merungkai permasalahan fiqh semasa menurut Al-Quran dan As-Sunnah. Pada tahun 1950 beliau dilantik sebagai professor di Fakulti Undang-undang di Universiti Damsyik. Apabila beliau ditangkap pada tahun 1952 dan Ikhwan Muslimin Syria diharamkan, beliau dipecat dari jawatannya dan dibuang negeri ke Lubnan.
Pada tahun 1955 beliau dan beberapa orang Ikhwan menerbitkan majallah mingguan “Asy-Syihab” dan majallah bulanan “Al-Muslimun” di Damsyik setelah ianya dihentikan oleh kerajaan di Mesir.
Mustafa As-Sibaie adalah seorang insan yang unik. Beliau adalah seorang alim, murabbi, penulis, khatib yang petah, ahli siasah dan mujahid. Di antara tulisan beliau ialah Alam wal Amal (Kesengsaraan dan Harapan), Jihad Kami di Palestin, Pengenalan Tamaddun Islam, Hukum Hakam dan Konsep Puasa, Akhlak Sosial Kita, Orientalis, Wanita, diantara Fiqh dan Undang-undang, Tokoh-tokoh Sejarah Kita, Beginilah Kehidupan Mengajar Aku, Agama dan Negara, As-Sunnah dankedudukannya dalam Perundangan Islam, Pusaka dalam Islam, Syarah kepada Undang-undang Perkahwinan dan lain-lain lagi.
Masjid Umawi, Damsyiq, Syria, tempat jenazah Ustaz Mustafa Sibaie disolatkan. Di dalamnya terdapat kubur Nabi Yahya as. Di luarnya terdapat kubur Salahuddin Al-Ayyubi.
Pada hari Sabtu 27 Jamadil Awal 1384H di bandar Hims, bersamaan 3 Oktober 1964, Mustafa As-Sibaie kembali ke rahmatullah setelah memenuhi hidupnya dengan jihad yang berterusan. Jenazahnya diiringi ribuan manusia dan disolatkan di Masjid Umawi, Damsyik.
Asy-Syeikh Abdul Fattah Abu Ghaddah menyifatkan beliau, “Ustaz Mustafa As-Sibaie seorang yang bersih diri, halus jiwa, kuat perasaan, respon kepada gurauan dan pandai melakukannya di tempatnya, suci hati, dikasihi dalam pergaulan, menjaga Ukhuwwah, cepat membantu, pemurah, bersungguh, kasar terhadap musuh, lembut perkataannya dalam perbualan bersama teman-temannya …”.
Mufti Palestin, Asy-Syeikh Amin Al-Husaini menulis tentang Ustaz Mustafa As-Sibaie seperti berikut, “Syria dan Dunia Islam telah kehilangan seorang alim dari kalangan ulamaknya, seorang mujahid dari para mujahideennya, ustaz dari kalangan asatizahnya, pendakwah dari kalangan para pendakwahnya. Saya sungguh mengenali beliau dan mengetahu kebenaran, kejujuran dan keikhlasannya. Beliau berterus terang, kuat keazaman dan mempertahankan aqidah dan prinsip. Beliau memiliki kaki kebenaran dan tangan yang putih terang dalam menyumbang kepada isu-isu Islam dan Arab, terutamanya Syria dan Palestin. Beliau mengetuai batalion mujahideen Ikhwan Muslimin dalam mempertahankan Baitul Maqdis pada tahun 1948″.
Asy-Syeikh Muhammad Abu Zahrah berkata, “Sesungguhnya akhu belum pernah melihat di Bilad Asy-Syam (negara Syria, Lubnan, Jordan dan Palestin) seorang yang lebih tinggi hemah dan jiwanya selain Mustafa Sibaie, belum pernahmelihat seorang yang lebih pedih jiwa terhadap apa yang menimpa Islam dan umat Islam selain beliau”.
Diterjemah dan diringkaskan oleh Ustaz Halim