Friday, May 22, 2009

Tazkirah Jumaat: Ahli gerakan Islam perlu tahu uslub dakwah




Salam,sahabat ,artikel ini telah diambil dari laman Web harakahdaily.net utk kemaslahatan semua . selamat membaca.

Perbincangan ini adalah mengenai keperluan anggota-anggota jemaah mengetahui selok-belok kaedah yang berkesan bagi menyampaikan mesej dakwah, sama ada di kalangan saudara-saudara seagama, ataupun kepada mereka yang bukan Islam. Ia lebih dikenali dalam konteks dakwah sebagai 'uslub dakwah' atau gaya, pendekatan, cara, kaedah dan sebagainya.





Ini penting kerana dengan memelihara uslub ini akan lebih menceriakan arena dakwah, kerana ia lebih memfokuskan kepada golongan sasaran, serta menentukan sama ada dakwah yang dijalankan itu benar-benar menepati acuan, kaedah atau sebaliknya matlamat jangka panjang dan pendek, ia bergantung kepada sejauhmana penerapan itu dibuat.

Menurut golongan para pendakwah atau daie, kejayaan atau keberkesanan dakwah yang dilakukan oleh pendakwah, ada kaitan dengan pengamalan seseorang pendakwah yang tersirat dalam ciri-ciri yang disebutkan sebelum ini.

Antara lain ketaatan kepada pemimpin, menjaga kerahsiaan, memperkasa diri dengan amalan-amalan Islam seperti memberi perhatian kepada pengukuhan ilmu-ilmu alat, membudayakan pembacaan al-Quran, memastikan isteri dan anak perempuan menutup aurat, mewajibkan perkara sunat untuk diri sendiri, tidak melaga-lagakan pemimpin, menjaga solat berjemaah, memimpin pertubuhan, mampu kendali majlis keramaian atau usrah, menepati janji dan tidak merokok.

Pada masa yang sama juga, pendakwah khususnya di kalangan anggota gerakan Islam meletakkan perkara-perkara berikut sebagai asas kepada uslub dakwah:

1. Berhikmah: iaitu meletakkan sesuatu perkara pada tempatnya, ia disaring daripada firman Allah SWT menerusi ayat 125 urah an-Nahl yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik."

Hikmah yang dimaksudkan dalam ayat di atas mengandungi pelbagai tujuan yang boleh diselaraskan kepada uslub dakwah, antaranya:

a) Menghormati kotak pemikiran golongan sasaran, maknanya pendakwah perlu melihat tahap mentaliti mereka sebelum menyampaikan sesuatu idea, ditakuti jika tidak sampai apa yang diutarakan, berkemungkinan besar akan menjadi sia-sia, kerana baginda Rasulullah s.a.w. ada menegaskan bahawa: "Bercakaplah kepada orang ramai menurut tahap cara berfikir mereka."

b) Menggunakan gaya bahasa yang mudah difahami dengan mengelak bahasa bunga yang merumitkan golongan sasaran atau menggunakan bahasa secara berterus-terang hingga dapat digarap dengan mudah.

c) Memilih waktu yang sesuai untuk bercakap pada perkara berhubung Islam atau dakwah, ia disandarkan kepada satu peristiwa yang pernah terjadi pada Abdullah bin Mas'ud (sahabat Nabi), di mana beliau sering bercakap tentang Islam pada setiap hari Khamis, salah seorang pendengar setianya bertnya, alangkah bagusnya jika engkau dapat bercakap tentang Islam setiap hari wahai Ibnu Mas'ud, beliau menjawab; aku tidak mahu berbuat demikian bimbang ia akan membosankan kamu semua, aku berbuat demikian sebagai meneladani apa yang pernah dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w. ke atas kami. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

d) Mengehadkan masa ketika bercakap - iaitu pendakwah tidak meleret-leret ketika menyampaikan pandangannya tentang sesuatu topik, kerana boleh jadi yang mendengarnya seorang yang sakit, orang tua atau yang mempunyai keperluan lain, lebih-lebih lagi ketika menyampaikan khutbah para jemaah tidak boleh balik awal sebelum solat dilaksanakan dan sebagainya, Rasulullah s.a.w. bila berkhutbah menggunakan pendekatan yang sederhana dan segera agar tidak menyebabkan jemaah lama menunggu.

2. Nasihat yang baik: Iaitu satu nasihat atau peringatan yang boleh melunakkan hati-hati manusia yang keras dengan amalan ahli dunia yang lupakan akhirat khususnya pada hari ini, di mana ramai manusia yang lebih cenderung kepada aspek sukan dan hiburan keterlaluan hingga boleh meninggalkan tugas utama sebagai Muslim/Muslimah iaitu solat fardu lima waktu, begitu juga pendakwah adalah disaran untuk memperbanyak mengingatkan manusia tentang dosa, pahala, syurga, neraka, balasan baik dan buruk. Ia adalah bertujuan untuk mencairkan manusia.

Pendakwah atau daie perlu memelihara perkara berikut:

* Ringkas yang berkesan dan tidak menjemukan penyampaian.

* Menghimpunkan antara perkara baik dan buruk untuk difikirkan.

* Memperbaykan sebutan mengenai nikmat Allah ke atas manusia.

* Menyediakan jalan untuk menuju kesempurnaan dalam hidup di dunia dan akhirat.

3. Berbahas dengan cara yang baik: Berbahas adalah salah satu wasilah atau pendekatan dalam menyampaikan sesuatu hujah, adakalanya ia bersifat mulia dan pada ketika yang lain pula bersifat buruk, ia bergantung kepada sejauh mana cara berbahas tanpa mengikut aliran emosi, berbahas dengan cara mulia ada disebut dalam ayat di atas, surah an-Nahl 125 maksudnya: "Berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik."

Ada pun berbahas yang cenderung kepada sifat tercela disebut Allah dalam surah al-Haj ayat 8 maksudnya: "Dan ada di antara manusia yang membantah dalam perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan tidak berdasarkan sebarang keterangan, dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran."

4. Berbahas dengan cara yang mulia berdasarkan elemen terbaik yang digunakan oleh pendakwah, iaitu mengemukakan hujah mudah tetapi benar yang boleh membuka minda manusia seperti yang ditegaskan Allah mengenai kisah Nabi Ibrahim a.s. yang berdialog dengan kaumnya, di mana kisah itu dipaparkan menerusi ayat 258 surah al-Baqarah maksudnya: "Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? ketika Nabi Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah yang menghidupkan dan yang mematikan," ia menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah ia dari barat?" maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim."

Pendakwah boleh juga mengambil inisiatif dengan menggunakan pendekatan al-Quran bagi menguatkan hujahnya ketika berbahas atau berdialog dengan golongan sasaran, apatah lagi mereka yang agak degil dan keras kepala.

Ayat 35-37 surah at-Tur boleh dijadikan modal berdakwah, firman Allah maksudnya: "(Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri? (35). Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu? (sudah tentu tidak!) bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya). (36) Adakah pada tangan mereka perbendaharaan Tuhanmu (sehingga mereka boleh memberi atau menahan sesuatu nikmat atau pangkat), atau merekalah yang berkuasa mentadbirkan segala-galanya?(37)"

Pendekatan dakwah melalui kisah teladan dalam al-Quran atau pada Sirah Nabi Muhammad s.a.w. Sesungguhnya kisah-kisah benar yang dipaparkan dalam al-Quran sebenarnya mampu menarik minat golongan sasaran kepada Islam, kerana ia bukanlah kisah dongengan, tetapi kisah benar yang dikisahkan Allah Yang Maha Benar untuk menjadi bahan renungan, kesedaran dan membuka minda untuk berubah.

Sebagai contoh kisah yang dipaparkan melalui ayat 259 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Atau (tidakkah engkau rasa pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: "Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)?" Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama 100 tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: "Berapa lama engkau tinggal (di sini)?" Dia menjawab: "Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari." Allah berfirman: "(tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama 100 tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging" Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: "Sekarang aku mengetahuiNya (dengan yakin), Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Kesimpulan daripada ayat di atas, bahawa Allah SWT menganjurkan kepada manusia untuk melancong (bukan tujuan maksiat) bagi melihat kebesaran Allah SWT, penting untuk memikirkan pada bahan-bahan ciptaan Allah di muka bumi, menentukan aspek kematian dan kebangkitan yang pasti berlaku, penjelasan mengenai tempoh mati dan hidup tidak boleh dikiaskan dengan kehidupan di dunia, membuktikan kekuasaan Allah dalam melakukan apa sahaja walaupun tidak dapat diterima oleh akal fikiran manusia yang terbatas.

5. Menggunakan teknik soal jawab ketika berdakwah: Penggunaan teknik soal jawab dalam berdakwah, dianggap sebagai satu cara terbaik, kerana ia disandarkan kepada cerita dalam al-Quran, di mana Allah SWT bertanya kepada manusia dalam banyak yang bersifat soalan yang perlu dijawab oleh manusia, antara ayat-ayat berkenaan ialah:

* Ayat 1-3 surah al-Ma'un: "Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)? (1). Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim, (2) Dan dia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.(3)"

* Surah al-Fil: "Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? (1) Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? (2) Dan ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan,(3) Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras, (4) Lalu ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.(5)"

6. Membawa contoh-contoh perumpamaan atau bidalan ketika berdakwah: Penguasaan tentang ayat-ayat al-Quran menjadi keutamaan kepada pendakwah, justeru mereka boleh menggunakan ayat-ayat bersifat perumpamaan seperti yang disebut oleh al-Quran menerusi ayat 261 surah al-Baqarah: "Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji. dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya."

Kesimpulannya, apabila uslub dakwah yang disyorkan di atas dapat direnungi bersama oleh mereka yang bergelar pendakwah, khususnya yang menjadi anggota gerakan Islam, insya-Allah ia akan menjadi satu pendekatan yang mampu mencairkan manusia yang cemderung kepada kebenaran Islam. Selamat Mencuba. - Ustaz Zainudin Hashim

Baca Lagi...

Thursday, May 7, 2009

Tulisan Ustaz Nik Abduh,Gempar tapi bermanfaat


sumber:http://ustazmokhtar.blogspot.com/2009/05/tulisan-ustaz-nik-abduhgempar-tapi.html

Sehari dua ini saya cuba tinjau banyak blog sahabat-sahabat sejamaah. Samaada Pimpinan Pusat,Ulama, Pemuda, Muslimat, pimpinan negeri, kawasan dan bloger-bloger pas yang sempat saya ziarahi. Saya cuba lihat apa riaksi mereka terhadap tulisan berani Ustaz Nik Abduh tenpoh hari. Di samping itu saya cuba memahami tulisan-tulisan mereka seupaya mungkin. Sekelumit pengalaman selama 23 tahun dalam Pas saya jadikan sebahagian daripada keupayaan itu. Memahami manusia adalah suatu yang sangat sukar, khususnya apabila manusia tersebut tidak dimujahadahkan dengan jiwa rohani yang sebenar. Maka seringkali lah ucapan atau tulisan mereka berlainan dari apa yang mereka "sedang usahakan". Benar kata seorang ahli tassauf, "waspadalah dengan manusia. Sehodoh-hodoh binatang, wajahnya tetap sama sejak mula kita melihatnya. Tetapi seindah-indah manusia, wajahnya sering berubah-ubah".


Jika kita amat-amati tulisan dari blog ke blog. Khususnya dimusim "tahun pemilihan". Berbagai wajah dapat kita saksikan. Ada sesetengahnya secara mendadak menjadi wara'. Tetapi dicelah-celah kewarakan itu tetap ada unsur-unsur lobi yang agak ketara. Atau paling kurang ucapan yang bersifat mempertahankan diri selepas selesai melakukan kerja-kerja yang tersembunyi. Ada pula yang terang-terang melobi diri sendiri. Cumanya dengan cara yang agak segan-segan. Di copynya tulisan orang lain yang melobi dirinya lalu di pastekan kat blognya sendiri. Ini pun termasuk kerja-kerja kelakar jugak yang menghiasi pentas tahun pemilihan.

Sesetengahnya pula sangat bijak bermain "catur" ( pinjam perkataan seorang bloger). Dicaturnya semua orang disemua peringkat pemilihan. Sehingga dapat kita lihat "king" pun nak dicaturkannya. Kalau King boleh dicaturnya maka mudah sangat lah ia mencaturkan "kuda" dan bidak-bidak yang lain. "Castle" dijadikan benteng terakhir untuk berlindung diri jika ada orang yang menyedari kerja-kerja mencatur itu. Maka Castle akan memberi peringatan kepada ahli umum, "waspadalah menjaga hati, jangan bersangka buruk kepada sesama kita". Saya tidak menuduh semua ucapan seumpama itu adalah bertujuan meredakan suasana atau melindungi seseorang. Kerana ada orang yang memberi peringatan sebegitu benar-benar lahir dari keikhlasan lubuk hati mereka.

Dapat kita lihat semua ini dengan jelas jika kita ikuti tulisan dan tindakan sesetengah mereka dengan tersusun. Ada orang yang sesekali nampak macam mahu lonjakkan temannya keatas, supaya berjaya menduduki posisi yang lebih sesuai dengan tarafnya. Lalu diajak lah ahli umum bersama dengan "hasrat ikhlasnya" itu. Namun dalam masa yang sama diidamkannya kerusi yang bakal dikosongkan oleh temannya. "Anta kena bertanding lawan "orang ini" kerana dia bukan orang kita". "Anta kena pertahankan jawatan anta, jangan tarik diri, kerana kalau orang dia yang duduk disini susah kita nanti".

Pendedahan yang dibuat oleh Ustaz Nik Abduh mungkin agak mengemparkan dan tindakan yang kurang POPULAR bagi sesetengah orang. Namun apakah kita perlu membiarkan keadaan yang tidak betul berlaku dalam jamaah hanya sekadar mahu menjaga populariti diri sendiri?. Umum ahli Pas, juga diri saya, sudah lama menyedari adanya usaha-usaha menyemai bibit permusuhan antara Ulama dan Profesional serta seorang pimpinan dengan pimpinan yang lain. Namun oleh kerana "kita hanya ahli biasa", siapalah yang akan mengambil perhatian terhadap apa yang kita bangkitkan. Paling-paling tidak kita akan dianggap mudah "bersangka buruk" kepada sesama jamaah. Mahu tak mahu kita terpaksa tunggu kalau-kalau ada dikalangan pimpinan atasan yang tidak "mementingkan populariti" yang akan bersuara mengenainya. Suara amaran adanya jamaah dalam jamaah telah kerap kali disuarakan dimana-mana. Saya sendiri pernah menyentuh perkara ini dalam Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat di Ipoh dahulu. Namun seperti yang saya katakan tadi "siapa lah kita". Jamaah dalam jamaah tetap bergerak subur dalam Pas. Untuk menyelamatkan Pas daripada landaan kerja-kerja tersusun ini kita memerlukan mereka-mereka yang berani dan tidak mementingkan "populariti". Jamaah dalam jamaah inilah yang mengerat akar-akar wala ahli kepada pimpinan. Jamaah dalam jamaah inilah yang akan mengheret Pas kepada porak puranda dan kacau bilau.

Malangnya apabila kita suarakan perkara ini, ada yang cuba mengalih pemahaman dan perhatian umum ahli Pas. Kononya kita tidak menerima hadirnya bekas ahli jamaah-jamaah lain atau NGO kedalam Pas. Kononnya kita "jumud" dengan Pas. Sedangkan kita telah mengwar-warkan "Pas For All". Tiba-tiba kita tidak boleh menerima kehadiran orang lain yang tentunya membawa manfaat kepada Pas. Saya tidak tahu, tulisan dan anggapan begitu dilontarkan samaada mereka tidak faham dengan maksud "jamaah dalam jamaah" atau sengaja buat-buat tidak faham apa yang sedang berlaku dalam jamaah.

Sudah acap kali kita suarakan. "Pas For All" bukan selogan yang menghalalkan mana-mana orang masuk Pas dan kemudian membina jamaah mereka sendiri dalam Pas. Kita terima keujudan jamaah-jamaah atau NGO-NGO lain diluar Pas. Namun untuk membentuk team mereka dalam jamaah ini sehingga wala' sebenar mereka bukan kepada Pas adalah usaha yang telah kita lihat sebelum ini menghancurkan Pas. Apakah kita mahu disengat berkali-kali dalam satu lubang?. Mereka yang belum pernah disengat mungkin tak kesah perkara-perkara seperti ini. Sebab itu Ustaz Nik Abduh bertindak "menyengat", kerana sudah tidak tahan disengat. Apatah lahi operasi menyengat itu berlaku dihadapan beliau sendiri.

Tahun ini kembali semuala berkumandang perkataan "Ulama dan Profesional". Seolah-olah payah sangat untuk ulama menerima golongan Profesional dan seolah-olah degil benar golongan Profesional untuk menerima kepimpinan ulama". Saya bimbang issue ini hanya dihangatkan oleh manusia tertentu dalam jamaah, yang mempunyai agenda menghancurkan Pas daripada dalam. Apabila Pas sudah lemah maka akan memberi peluang mereka menguasai posisi penting dalam Pas. Jangan biarkan "syaitan hitam" menyelitkan diri ditengah-tengah saf kita. Sedangkan selama ini kedua-dua golongan tersebut berjaya menyuntik tenaga kepada perjuangan Pas. Kita dapat lihat Ulama-ulama tekun menyertai program yang dikendalikan oleh pimpinan dari kalangan profesional. Ulama sertai seminar kepimpinan dan pengurusan. Ulama sertai Seminar gerakkerja pilihan raya. Ulama sertai kursus pengurusan IT dan macam-macam lagi. Disamping itu kita juga pernah melihat pimpinan dari kalangan profesional bersimpuh dalam majlis ulama, menadah kitab... semuanya okey jika masing-masing tawaddhu dan tidak dikacau oleh "syaitan hitam". Golongan ulama sudah acap kali memberitahu bahawa "kepimpinan ulama" tidak bemberi makna keseluruhan barisan kepimpinan pas itu mesti semuanya ulama". Kepimpinan Ulama ialah kepimpinan yang diterajui oleh Ulama danbarisan kepimpinan yang berfikrah ulama walaupun mereka bukan ulama. Sebenarnya tidak susah untuk faham. Tapi yang susahnya wajah manusia itu berbagai-bagai dan hati pula mempunyai keinginan yang sering berubah-ubah.

Sebelum saya berundur, sekali lagi saya menyeru kita semua berani memperkatakan kebenaran walaupun dengan itu kita tidak popular bagi sesetengah orang. Orang yang sebenar-benarnya popular ialah orang yang namanya disebut dilangit dalam himpunan para Malaikat Allah swt.

Baca Lagi...