Salam,sahabat ,artikel ini telah diambil dari laman Web harakahdaily.net utk kemaslahatan semua . selamat membaca.
Pendapat lain turut bertanyakan di mana PAS dalam isu memperjuangkan Bahasa Melayu dalam Matematik dan Sains (PPSMI)? Di mana ulama' PAS dalam perjuangan anti FTA atau perjuangan anti Islam Liberal? Ingin sahaja saya mendiamkan diri dengan kedangkalan kata-kata tanpa asas berkenaan. Namun begitu memandangkan saya seorang ahli Jamaah Parti Islam SeMalaysia, malah saya diamanahkan sebagai anggota penerangan dakwah parti, maka ingin saya menulis berkaitan isu awlawiyyah dalam pertimbangan kerja-kerja Islam sekadarnya sahaja. Sebagai insan, saya bukanlah pejuang agama yang hebat untuk berbicara keutamaan kerja dalam Islam. Pejuang Islam tidak akan mendabik dada bahawa dirinya pejuang. Pejuang agama hanya menceritakan serba sedikit teknik kerja Islaminya agar dicontohi oleh pejuang dan rakan-rakan yang lain. Pejuang Islam tidak akan menuduh melulu rakan seperjuangan agamanya sendiri. Pejuang agama tidak akan menidakkan usaha dakwah pihak lain demi menyatakan kerja-kerja agama dan kerja-kerja amal mereka. Dalam usia PAS lebih daripada setengah abad, PAS tidak pernah menyelar atau mengkritik pemimpinnya secara jahar(terbuka) sama ada benar atau salah. Teguran dan usaha baik pulih dilakukan secara mahabbah dan tidak dihebahkan. Aib yang dihebahkan adalah sikap para munafik. PAS tidak pernah menghina Dato' Asri yang meninggalkan perjuangan PAS dengan menyertai UMNO. Malah perjuangan Dato ' Asri menulis lirik lagu tema PAS kini, perjuangan Dato' Asri memperjuangkan bahasa Melayu di saat akta 152 ingin dipugarkan masih segar dalam ingatan semua. Teguran dan kritikan hanya dilakukan secara dalaman untuk meningkatkan dakwah, bukan menghina atau merosakkan. Hanya gerakan sekular yang akan menghina pemimpin atau ketua mereka sendiri kerana idealisme mereka adalah akal mereka. Apa sahaja yang dikatakan dogmatik pada pandangan mereka, mereka akan menentang. Apa sahaja yang dilihat sebagai bercanggah akan disebar luaskan aib dan sebagainya. Alangkah malang apabila hari ini ada petugas Islam yang mendabik dada menyelar usaha amal Islami pihak lain hanya kerana kedangkalan kajian dan kebutaan sejarah gerakan Islam itu sendiri. Jika kita berjuang membela bahasa Melayu, sejak tahun berapakah kita memulakan usaha itu. Sejauh manakah keefektifan kerja-kerja pemuliharaan kita itu? Dalam masa yang sama adakah kita cakna dengan perbincangan akta Rasuah di parlimen yang bakal membina landskap sosial yang bersih jika rasuah berjaya diperangi?Adakah kita ambil tahu isu rasuah dan penyelewengan harta? Apa pula tindakan kita? Dalam kekalutan kita mencari kelemahan gerakan Islam, adakah kita sedar kesengsaraan keluarga si mangsa ISA? Tahukah kita ISA itu haram dalam agama? Di mana kita dalam isu berkenaan? Dalam hal kebajikan, di mana pula kita semasa banjir teruk di utara tanahair serta pantai timur hari ini? Adakah kita hanya berbincang di kafe-kafe semata-mata? Jika kita pemula isu anti FTA atas wazan kita ahli intelek yang berfikiran, adakah idea kita akan disambut jika tiada harakah Islamiyyah yang mendidik pengikutnya agar menentang kemungkaran dan menegakkan negara yang berteraskan agama? Dari mana datangnya peserta-perserta demostrasi anti FTA? Adakah kita yang mendidik mereka selama ini? Atas tiket intelek kita berbicara. Tetapi intelek juga menjadi asas kepada kebangkitan pemikir liberalis dan sekularis. Mereka akan berfikir untuk meruntuhkan agama demi menaikkan kelompok-kelompok mereka walau atas nama apa sekalipun. Dakwah ada tingkat-tingkat keutamaannya. Dalam isu PPSMI, PAS telah lama menentang penggunaan bahasa Inggeris dalam pelbagai lapangan. Malah debat-debat di kampus banyak diadakan oleh persatuan-persatuan mahasiswa Islam, serta disuarakan juga oleh ramai pemimpin PAS dalam siri ceramah umum mereka. Dalam sesuatu keadaan, keutamaan kerja perlu diberikan kepada isu lain. Sedarkah kita, isu yang membelenggu umat Islam hari ini amat banyak? Jika kita ada kemampuan untuk melakukan sesuatu kerja Islam, teruskan. Itu hadiah dari Allah. Tetapi jika peluang kerja agama tersebut dijadikan hujah untuk menidakkan usaha dakwah lain, ia adalah sikap para juhala' yang bakal merosakkan agama. Kita masih ada pelbagai cara yang beradab dan tawadhu' untuk menyuarakan pendapat membina dakwah Islam. Bukannya mengikut cara gerakan liberal menyuarakan hati mereka sedangkan kita sendiri menentang Islam liberal? Ada yang tidak mahu berjuang menentang ISA atas alasan ia bukan kerja gerakan Islam malah ia banyak didominasi oleh gerakan hak asasi bukan Islam serta gerakan yang liberal. Ahli PAS telah lama menjadi mangsa ISA. Malah gerakan mansuh ISA juga diasaskan oleh Dato' Fadhil Noor di saat kita masih mentah di sekolah rendah. Kini gerakan mansuh ISA telah disahut oleh kaum Cina dan India. Adakah kita ingin meninggalkan wadah anti kezaliman itu hanya disebabkan ia telah banyak disertai oleh kaum bukan Islam? Adakah ini sikap pendakwah Islam yang istiqamah? Lihat sahaja bagaimana JIM pada awalnya tidak menyertai mana-mana gerakan politik demi menumpukan dakwah dalam bidang pendidikan dan tarbiyyah. Kini JIM juga mengambil pendekatan siasah demi melestarikan amal Islam bersama gerakan Islam yang lain. Itu awlawiyyah bagi jamaah JIM dan ia kena pada kondisi dan keperluan amal Islami JIM. Setiap gerakan Islam ada keutamaan masing-masing berdasarkan kemampuan ahli dan materi dakwah mereka. Individu-individu sedar juga memiliki keutamaan mereka yang tersendiri. Adakah wajar kita menghina sesuatu gerakan Islam hanya kerana mereka tidak menggariskan isu bahasa Melayu? Jika kita menganggap kita memahami teras idealisme Melayu Islam, kita tidak akan mengeluarkan kenyataan menghina rakan sepetugas agama. Ini kerana ia sikap sekular. Persoalan saya yang terakhir, adakah kita mengkaji hingga mendalam benarkah gerakan itu tidak berjuang isu yang kita gariskan? Adakah kita benar-benar ikhlas berjuang kerana Allah? Kajilah sejarah gerakan Islam di Malaysia. Bacalah sirah perjuangan cara Rasulullah dan Sahabat. Kita akan mengetahui awlawiyyah dalam pertimbangan kerja-kerja Islam. Kata Imam Malik , kita tidak berjaya mengikut satu amal bagi seorang anbiya' pun walaupun kesemua amal kita hari ini dikumpulkan serentak. Kegopohan dan gejala ghulu' (melampau) serta isti'jal (melulu) adalah antara punca kita jauh daripada perjuangan Islam malah kita mungkin menikam kebangkitan Islam di tanah kita berdiri.-azm (Penulis adalah Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Pulau Pinang) _ |
0 comments:
Post a Comment