Wednesday, December 31, 2008

‘Ukhwah‘Semanis ucapan,sepahit pelaksanaan 2..


'Maka berilah peringatan,sesungguhnya peringatan dan nasihat memberi manfaat kpd org mukmin'

Indahnya ukhwah bila dihayati .Bila dibina dgn kasih sayang ,serta kefahaman akidah islamiyyah.Ukhwah yg menyatukan hati-hati manusia .Ukhwah sumber kekuatan kesatuan muslimin..Ukhwah tali-tali pengikat jiwa pejuang islam.Ukhwah bukan satu khayalan ,ukhwah realiti yang sangat ditagih setiap muslim.dasar yang terbina dari firman Allah:

انما المؤمنون اخوةُ

‘sesungguhanya org-org mukmin itu bersaudara’.

Ayat-ayat cinta yg menyatukan golongan manusia .Malang bagi manusia yang ego dengan ayat-ayat tuhan .Bongkak dengan penilaian sendiri.Angkuh setitik kebijakkan yang dianugerah tuhan.Ukhwah menjadi pemanis mulut lelaki-lelaki yg menagih cinta sang perempuan.Mereka seolah terpukau runtunan kata-kata indah ‘ukhwahfillah’bagi mencorak percintaan utk kelihatan lebih islamik ,malangnya hakikat percintaan ini penuh dengan cinta yang berteraskan hawa nafsu menjauhkan hubungan hamba dengan pencipta yang mana ianya diisi dengan tuntutan pemuas syahwat sang ‘ikhwah’ dan sang‘akhwat’ ,bertukar gambar peribadi,dari secantik gambar simpulan tudung dan purdah sehingga terlucut tanpa seurat benang hijab yang menjadi benteng maruah kemuliaan manusia,bertukar pandangan mengenai agama sehingga bertukar pandangan sexual antara lelaki perempuan,ucapan permulaan perkenalan dgn ruh jihad yg ditiupkan dalam hubungan sehingga kini tidak lekang lafaz kasih ‘sayang’abang’ayang dan lain-lain kata yang meniupkan semangat zina dalam hati masing-masing .Ustazah-ustazah menerima dan merelakan dgn simpati seolah seorang mujahidah menanti setia mujahidnya pulang berjuang.Akhwat-akhwat tidak keruan bila mengharap ikatan ukhwah yang dibina sampai ke penghujungnya..Sedang mereka tanpa sedari telah menggunakan dan memperalatkan istilah ‘ukhwah’ sebagai alat penghalal hubungan haram mereka ,mereka memujuk rayu ,berkasih sayang,bercinta-cinta malah ada yang mengatur pertemuan,bermain mata dan bergurau senda melalui satu lafaz keramat’ukhwah fiillah’..Dimana ilmu agama yang telah kita pelajari yang menjadi alat penimbang baik buruk,dosa pahala?Adakah ilmu agama yg kita pelajari hanya sekadar madah,subjek universiti sahaja? Dimana laungan ingin berjuang menegakkan Negara Islam,masyarakat Islam dan keluarga Islam sekiranya nafsu tidak dididik,dibimbing dan ditegak dengan kemuliaan Islam.Manusia dengan selamba mempermainkan ayat-ayat tuhan supaya dapat berselindung daripada maksiat yang dilakukannya .Ingat! Allah Maha Melihat lagi Maha Mengetahui .Bertaubatlah sesungguhnya Allah maha pengampun..sungguh ‘Ukhwah’ sepahit pelaksanaan…………….

Baca Lagi...

Hudud hanya untuk orang Islam - Presiden PAS


Salam,sahabat ,artikel ini telah diambil dari laman Web harakahdaily.net utk kemaslahatan semua . selamat membaca.



SHAH ALAM, 28 Dis (Hrkh) - Memahami keresahan masyarakat bukan Islam, Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa pelaksanaan Hudud hanya melibatkan kalangan yang beragama Islam.

Masyarakat bukan Islam tidak seharusnya berasa bimbang jika hukum Hudud dilaksanakan di negara ini sebaliknya boleh memilih undang-undang yang mereka mahu seperti yang telah tertulis dalam Undang-undang Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan Terengganu, katanya.

"PAS tak perlu terangkan (tentang hukum Hudud) kerana undang-undang ini tiada kena mengena dengan orang bukan Islam.

"Pada kita, tidak timbul lagi soal Hudud kerana ia telah diluluskan di DUN Image(Dewan Undangan Negeri) Kelantan sejak tahun 90-an lagi dan di Terengganu pula telah diwartakan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan kempen 'Jom Sertai Pas' di Dataran Shah Alam semalam.

Ditanya sama ada PAS akan membawa usul mengenai pelaksanaan hukum Hudud di Parlimen untuk dibahaskan, beliau berkata belum tiba masanya untuk berbuat demikian. Image

Abdul Hadi dalam pada itu menyatakan hukum Hudud di negara ini hanya akan dilakukan jika rakyat negara ini berada dalam keadaan yang stabil.

"Masalah pengangguran masih ada lagi dan untuk laksanakan hukum ini kedudukan rakyat Malaysia mesti stabil contohnya daripada segi pendidikan, kehidupan, dan hubungan keluarga juga kena dijaga," katanya yang dipetik daripada agensi berita. - azm _

Baca Lagi...

Hudud bukan tanggungjawab PAS sahaja, Umno halang hukum Allah- Mohamed Hanipa Maidin

Salam,sahabat ,artikel ini telah diambil dari laman Web harakahdaily.net utk kemaslahatan semua . selamat membaca.


"Umno jangan terus mengeluarkan kata-kata bodoh dalam isu hudud ini. Ini kerana kamu bercakap tentang hukum Islam."

Agensi berita melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda jika PAS mahu melaksanakan hukum hudud di negara ini

"Kalau hajat mereka begitu, saya doakan supaya hajat mereka itu tercapai tetapi hakikat politik tidak begitu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia dan Pelancaran Kod Etika Pegawai Penguatkuasa Agama di sini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa pada Sabtu lepas bahawa parti itu akan tetap melaksanakan hukum hudud di seluruh negara sekiranya pakatan pembangkang berjaya memerintah pada masa depan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid pula berkata kenyataan Husam itu adalah "satu cerita politik" semata-mata kerana jikna PAS benar benar mahu melaksanakan, ia pasti sudah lama dikuatkuasa di Kelantan.

Saya percaya para pembaca boleh melihat kontradiksi ucapan kedua-dua pemimpim Umno tersebut. Mahadzir Khalid kata hudud boleh dilaksanakan di Kelantan, Zahid Hamidi pula mengatakan hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa pindaan Perlembagaan.

Kenyataan kedua-dua pemimpin Umno di atas adalah refleksi wajah sebenar Umno ketika berpolitik. Bagi pemimpin Umno peribadi seorang ahli politik dan peribadi seorang Islam adalah berbeza. Sebagai seorang Islam, ia boleh menerima hudud sebagai hukum Allah tetapi sebagai ahli politik ia sukar atau tidak boleh menerima bahawa hukum hudud wajib dilaksanakan. Bagi Umno perbezaan sikap antara orang Islam dan orang politik tidak menjadi satu masalah.

Atas dasar itulah setiap kali isu hudud timbul, Umno meletakkan beban perlaksanaan hukum Allah tersebut hanya kepada PAS seolah-olah PAS sahaja yang diamanahkan melaksanakan perintah Allah tersebut. Hudud adalah perintah Allah dan yang demikian sesiapa sahaja yang mengaku dirinya sebagai orang Islam ia bukan sahaja wajib beriman dengan perintah Allah tersebut tetapi juga mesti berusaha melaksanakan hukum tersebut . Mana-mana orang Islam sama ada di dalam Umno, PAS , Keadilan, NGO atau apa-apa pertubuhan sekalipun wajib berusaha melaksanakan hukum hudud tersebut . Perlaksanaan hukum hudud bukan milik eksklusif orang-orang PAS sahaja.

Umno benak tuduh PAS politikkan isu Hudud

Jika Umno tidak benak dan dapat memahami bahawa hudud adalah perintah Allah maka Umno tidak boleh, dalam apa keadaan sekalipun, menuduh PAS cuba mempolitikkan isu hudud ini sepertimana yang dikatakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid tersebut.

Bagi PAS, tiada satu dikotomi ( pemisahan ) antara orang Islam dan orang politik. Apabila pemimpin PAS bercakap tentang politik ia bercakap sebagai seorang pemimpin Islam dan apabila ia bercakap tentang Islam ia juga bercakap sebagai pemimpin politik. Kenapa begitu ? Kerana itulah yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w iaitu Rasul bagi seluruh umat manusia termasuklah orang �orang PAS dan orang �orang Umno.

Oleh itu sama ada PAS berjuang bersendirian atau bersama Pakatan Rakyat , PAS tidak akan sama sekali meninggalkan matlamat perjuangannya untuk menegakkkan Islam yang syumul yang merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk hukum hudud.

Tetapi dalam masa yang sama PAS juga amat maklum di atas kejahilan majoriti rakyat negara ini tentang hukum hudud tersebut dan batasan serta halangan perundangan, perlaksanaan hukum hudud mungkin tidak dapat disegerakan perlaksanaannya meskipun diandaikan Pakatan Rakyat dapat memerintah negara ini. Atas dasar itu hasrat melaksanakan hudud tidak pernah menjadi penghalang kepada Pas untuk berkerjasama dengan mana-mana pihak yang menuntut keadilan dan menentang kezaliman.

PAS maklum DAP masih belum menerima hasrat perlaksanaaan hudud di negara ini. Penentangan DAP bagi PAS bukan perkara yang pelik. Jika Umno yang bermajoritikan orang Islam juga menentang hasrat PAS untuk melaksanakan hudud apalah yang nak dihairankan DAP yang bermajoritikan orang bukan Islam juga menentang hudud. Apabila Kelantan dan Trengganu ( ketika diperintah oleh PAS ) ingin melaksanakan hudud , siapa yang mencabarnya di Mahkamah ? DAP atau Umno ?

Saya optimistik DAP yang mempunyai ramai para intelektual boleh menerima hudud satu hari nanti kerana isu hudud bukan sahaja boleh dipertahankan dari sudut agama malahan juga menurut perspektif intelektual. Melihat sokongan yang makin meningkat ke atas kelab penyokong PAS dari kalangan orang bukan Islam, DAP kini tidak boleh menyatakan hudud ditentang oleh semua orang bukan Islam.

Sepertimana yang saya katakan perlaksanaan hukum hudud bukan milik eksklusif PAS. Ia adalah tanggungjawab bersama baik Umno atau orang-orang Islam yang lain . Meskipun Umno menuduh PAS hanya berpolitik di dalam isu hudud , siapa yang boleh menidakkan kesungguhan PAS untuk cuba melaksanakan hukum Allah tersebut. Bukankah PAS yang telah bersungguh-sungguh menggubal enakmen hudud di Kelantan dan Trengganu ( semasa Pas memerintah ) .

Apa yang lebih menarik sebelum Kerajaan PAS Trengganu mengemukakan enakmen hudud di DUN Trengganu , PAS telah mengadakan seminar dan memanggil semua pihak termasukah Umno untuk memberikan pandangan dan kritikan mereka terhadap Enakmen yang ingin dibentangkan tersebut. Setahu saya ini tidak pernah berlaku dalam sejarah perundangan negara. Hal ini juga saya nyatakan kepada salah seorang Ahli Parlimen di London yang bertanyakan saya tentang enakmen tersebut ketika saya melawat Parlimen England bersama Y.B Salahudin Ayub suatu masa dahulu.

Umno halang hukum Allah

Jika PAS berusaha bersungguh-sungguh cuba melaksanakan hukum hudud semasa memerintah Kelantan dan Trengganu, Umno juga tidak ketinggalan bersungguh-sungguh cuba menghalang perlaksanaan hukum Allah tersebut. Tidak cukup pemimpin Nombor 1 UMNO ( pada masa itu ) menulis surat amaran kepada Kerajaan Kelantan agar tidak melaksanakan hukum hudud ada juga pemimpin UMNO yang sanggup mencabar undang-undang hudud tersebut di Mahkamah. Malahan yang lebih teruk sekali pemimpin UMNO sanggup melabelkan hukum Alllah tersebut sebagai hukum hudud PAS.

Jika PAS boleh menyokong Bank Islam, Takaful , Universiti Islam mengapakah Umno amat sukar menerima hudud hanya kerana ianya digubal oleh Kerajaan PAS. Mengapa Umno tidak boleh sama sekali memberi ruang kepada PAS dalam isu hudud ini. Jika Perlembagaan menjadi penghalang sepertimana yang dikatakan oleh Zahid Hamidi mengapa selama ini Umno tidak bersedia memindanya bagi membolehkan PAS melaksanakan hudud di Kelantan.

Paling minima yang Umno lakukan adalah jangan terus mengeluarkan kata-kata bodoh dalam isu hudud ini. Ini kerana kamu bercakap tentang hukum Islam. Dalam perkara yang bukan agama jika kamu salah bercakap, kamu hanya membuat kesilapan dan kesilapan tersebut tidak akan menjejaskan aqidah kamu.

Sebaliknya isu agama lain. Jika salah bercakap sila-silap akan tergelincir aqidah. Atas dasar itu dalam isu hudud diamnya para pemimpin Umno lebih baik daripada mereka bercakap. Ini kerana jika mereka diam kita mungkin rasa mereka jahil dalam isu hudud ini sebaliknya jika mereka bercakap barulah kita sedar memang confirmlah mereka ini memang jahil.- azm

(Penulis adalah Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS dan seorang peguam)-azm_

Baca Lagi...

Tafsir Surah al-Maidah Ayat 102 : Nabi tegah bertanya agama tidak serius Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Salam,sahabat ,artikel ini telah diambil dari laman Web harakahdaily.net utk kemaslahatan semua . selamat membaca.



Ayat ini diturunkan bersempena dengan Abdullah bin Huzafah r.a. Beliau termasuk di kalangan ahli Badar yang diutuskan oleh Nabi s.a.w. membawa surat yang mengajak Raja Parsi (Kisra) memeluk Islam.

"Masuk Islam, kamu selamat," demikian antara isi kandungan surat itu. Kisra diberi peringatan bahawa jika raja Parsi itu tidak memeluk Islam nescaya dia memikul dosa pengikutnya dari kalangan penganut agama Majusi.

Abdullah bin Huzafah tidak sujud kepada Kisra kerana Nabi s.a.w. mengharamkan sujud kepada makhluk, selain dari Allah. Abdullah menyerah surat Nabi s.a.w. kepada Kisra tanpa memperdulikan protokol raja Kisra walaupun dia dimarah oleh raja itu.

Kisra telah mengoyak surat Nabi s.a.w. di dalam majlis penghadapan di istana Kisra. Apabila peristiwa tersebut diberitahu kepada Nabi s.a.w., baginda bersabda yang bermaksud:

"Akan dikoyak setiap yang dikoyak. Apabila binasanya Kisra, tidak ada lagi raja yang bergelar Kisra selepas itu."

Inilah murkanya Nabi s.a.w. apabila suratnya tidak dilayan sedangkan mengikut muamalah antarabangsa pada masa itu sesuatu negara mestilah menghormati utusan yang dihantar dari mana-mana negara ke dalam negara tersebut.

Utusan Nabi, Abdullah bin Huzafah dihina. Allah Ta'ala telah menjatuhkan kerajaan Parsi di zaman Saidina Umar Ibnul Khattab r.a.

Mengikut riwayat At-Tirmizi dan Daraqutni, dari Ali r.a. katanya, ayat ini diturunkan bersempena dengan peristiwa ketika diturunkan firman Allah yang bermaksud:

"Dan sabit bagi Allah mewajibkan manusia menunaikan ibadat haji ke Baitillah (Makkah) kepada sesiapa yang mampu berjalan menuju kepadanya." (Surah Ali Imran: 97)

Bila turun ayat ini mereka bertanyakan Nabi s.a.w., "adakah tiap-tiap tahun wahai Rasulullah?" Nabi s.a.w. mendiamkan diri, tidak menjawab. Mereka bertanya lagi, "adakah tiap-tiap tahun wahai Rasulullah?" Rasulullah bersabda yang bermaksud, "tidak, kalau aku menjawabnya nescaya wajib mengerjakan haji setiap tahun."

Yakni ianya akan menjadi keberatan kepada kamu. Lalu Allah menurunkan ayat ini. Mengikut al-Bukhari bahawa hadis ini adalah hadis hassan tetapi mursal (sandarannya putus) kerana orang yang meriwayatkan hadis ini, Abu Bakhtari (Said) tidak bertemu dengan Saidina Ali r.a.

Bagaimana dia boleh meriwayatkan hadis ini dari Ali dan dari Nabi s.a.w.?

Justeru hadis ini tidak boleh menjadi hujah yang kuat sebagaimana riwayat yang terdahulu.

Ayat ini melarang kita bertanyakan masalah agama kerana bermain-main terutamanya kepada sahabat r.a. ketika wahyu diturunkan.

Apabila ditanya maka Allah menurunkan wahyu yang lain pula. Seringkali ia menjadi bebanan yang berat kepada mereka kecuali dalam perkara yang diizinkan oleh syarak.

Perkara ini pernah berlaku kepada Bani Israel dan kaum-kaum yang lain di zaman silam. Firman Allah yang bermaksud,"sesungguhnya telah bertanya oleh kaum yang lebih dahulu daripada kamu kemudian mereka menjadi orang-orang yang kafir." (Surah al-Maidah: 102)

Di antaranya ialah kaum Nabi Soleh yang bertanyakan Nabi itu supaya menunjukkan bukti lalu Allah mengurniakan mukjizat seekor unta yang luar biasa.

Tiba-tiba mereka menjadi kafir. Mereka menyembelih unta mukjizat yang dikurnaikan oleh Allah kepada Nabi Soleh dan mereka dibalakan oleh Allah dengan satu tempik (jeritan) yang membinasakan mereka semuanya.

Hanya tinggal bangunan yang di pahat daripada bukit yang pejal yang menjadi tempat tinggal mereka.Kaum Nabi Soleh dimatikan oleh Allah.

Justeru kita jangan jadi seperti sahabat-sahabat Nabi Isa a.s. yang meminta supaya diturunkan hidangan daripada langit. Oleh kerana sayangkan para sahabatnya, Nabi Isa a.s. berdoa supaya Allah menurunkan hidangan daripada langit.

Kemudian mereka meminta benda yang bukan-bukan seolah-olah mahu jadikan nabi mereka sebagai pemain silap mata.

Jika berlaku sesuatu yang pelik barulah beriman, sebaliknya jika tidak ada benda pelik berlaku mereka tidak beriman kepada nabi Isa a.s.

Allah Ta'ala tidak sukar untuk mengurniakan sesuatu yang pelik kepada nabi dan rasul-rasul-Nya untuk dijadikan sebagai mukjizat kepada mereka dan kepada wali-wali-Nya sebagai karamah.

Tetapi apabila ada perkara yang pelik ini, tiba-tiba engkar, tidak mahu ikut maka siksanya adalah lebih berat. _

Baca Lagi...

Wednesday, December 24, 2008

Keutamaan dalam perjuangan PAS

Salam,sahabat ,artikel ini telah diambil dari laman Web harakahdaily.net utk kemaslahatan semua . selamat membaca.


Pendapat lain turut bertanyakan di mana PAS dalam isu memperjuangkan Bahasa Melayu dalam Matematik dan Sains (PPSMI)? Di mana ulama' PAS dalam perjuangan anti FTA atau perjuangan anti Islam Liberal? Ingin sahaja saya mendiamkan diri dengan kedangkalan kata-kata tanpa asas berkenaan.

Namun begitu memandangkan saya seorang ahli Jamaah Parti Islam SeMalaysia, malah saya diamanahkan sebagai anggota penerangan dakwah parti, maka ingin saya menulis berkaitan isu awlawiyyah dalam pertimbangan kerja-kerja Islam sekadarnya sahaja. Sebagai insan, saya bukanlah pejuang agama yang hebat untuk berbicara keutamaan kerja dalam Islam.

Pejuang Islam tidak akan mendabik dada bahawa dirinya pejuang. Pejuang agama hanya menceritakan serba sedikit teknik kerja Islaminya agar dicontohi oleh pejuang dan rakan-rakan yang lain. Pejuang Islam tidak akan menuduh melulu rakan seperjuangan agamanya sendiri. Pejuang agama tidak akan menidakkan usaha dakwah pihak lain demi menyatakan kerja-kerja agama dan kerja-kerja amal mereka.

Dalam usia PAS lebih daripada setengah abad, PAS tidak pernah menyelar atau mengkritik pemimpinnya secara jahar(terbuka) sama ada benar atau salah. Teguran dan usaha baik pulih dilakukan secara mahabbah dan tidak dihebahkan. Aib yang dihebahkan adalah sikap para munafik.

PAS tidak pernah menghina Dato' Asri yang meninggalkan perjuangan PAS dengan menyertai UMNO. Malah perjuangan Dato ' Asri menulis lirik lagu tema PAS kini, perjuangan Dato' Asri memperjuangkan bahasa Melayu di saat akta 152 ingin dipugarkan masih segar dalam ingatan semua. Teguran dan kritikan hanya dilakukan secara dalaman untuk meningkatkan dakwah, bukan menghina atau merosakkan.

Hanya gerakan sekular yang akan menghina pemimpin atau ketua mereka sendiri kerana idealisme mereka adalah akal mereka. Apa sahaja yang dikatakan dogmatik pada pandangan mereka, mereka akan menentang. Apa sahaja yang dilihat sebagai bercanggah akan disebar luaskan aib dan sebagainya.

Alangkah malang apabila hari ini ada petugas Islam yang mendabik dada menyelar usaha amal Islami pihak lain hanya kerana kedangkalan kajian dan kebutaan sejarah gerakan Islam itu sendiri.

Jika kita berjuang membela bahasa Melayu, sejak tahun berapakah kita memulakan usaha itu. Sejauh manakah keefektifan kerja-kerja pemuliharaan kita itu? Dalam masa yang sama adakah kita cakna dengan perbincangan akta Rasuah di parlimen yang bakal membina landskap sosial yang bersih jika rasuah berjaya diperangi?Adakah kita ambil tahu isu rasuah dan penyelewengan harta? Apa pula tindakan kita?

Dalam kekalutan kita mencari kelemahan gerakan Islam, adakah kita sedar kesengsaraan keluarga si mangsa ISA? Tahukah kita ISA itu haram dalam agama? Di mana kita dalam isu berkenaan? Dalam hal kebajikan, di mana pula kita semasa banjir teruk di utara tanahair serta pantai timur hari ini? Adakah kita hanya berbincang di kafe-kafe semata-mata?

Jika kita pemula isu anti FTA atas wazan kita ahli intelek yang berfikiran, adakah idea kita akan disambut jika tiada harakah Islamiyyah yang mendidik pengikutnya agar menentang kemungkaran dan menegakkan negara yang berteraskan agama? Dari mana datangnya peserta-perserta demostrasi anti FTA? Adakah kita yang mendidik mereka selama ini?

Atas tiket intelek kita berbicara. Tetapi intelek juga menjadi asas kepada kebangkitan pemikir liberalis dan sekularis. Mereka akan berfikir untuk meruntuhkan agama demi menaikkan kelompok-kelompok mereka walau atas nama apa sekalipun.

Dakwah ada tingkat-tingkat keutamaannya. Dalam isu PPSMI, PAS telah lama menentang penggunaan bahasa Inggeris dalam pelbagai lapangan. Malah debat-debat di kampus banyak diadakan oleh persatuan-persatuan mahasiswa Islam, serta disuarakan juga oleh ramai pemimpin PAS dalam siri ceramah umum mereka. Dalam sesuatu keadaan, keutamaan kerja perlu diberikan kepada isu lain. Sedarkah kita, isu yang membelenggu umat Islam hari ini amat banyak?

Jika kita ada kemampuan untuk melakukan sesuatu kerja Islam, teruskan. Itu hadiah dari Allah. Tetapi jika peluang kerja agama tersebut dijadikan hujah untuk menidakkan usaha dakwah lain, ia adalah sikap para juhala' yang bakal merosakkan agama. Kita masih ada pelbagai cara yang beradab dan tawadhu' untuk menyuarakan pendapat membina dakwah Islam. Bukannya mengikut cara gerakan liberal menyuarakan hati mereka sedangkan kita sendiri menentang Islam liberal?

Ada yang tidak mahu berjuang menentang ISA atas alasan ia bukan kerja gerakan Islam malah ia banyak didominasi oleh gerakan hak asasi bukan Islam serta gerakan yang liberal. Ahli PAS telah lama menjadi mangsa ISA. Malah gerakan mansuh ISA juga diasaskan oleh Dato' Fadhil Noor di saat kita masih mentah di sekolah rendah. Kini gerakan mansuh ISA telah disahut oleh kaum Cina dan India.

Adakah kita ingin meninggalkan wadah anti kezaliman itu hanya disebabkan ia telah banyak disertai oleh kaum bukan Islam? Adakah ini sikap pendakwah Islam yang istiqamah? Lihat sahaja bagaimana JIM pada awalnya tidak menyertai mana-mana gerakan politik demi menumpukan dakwah dalam bidang pendidikan dan tarbiyyah. Kini JIM juga mengambil pendekatan siasah demi melestarikan amal Islam bersama gerakan Islam yang lain. Itu awlawiyyah bagi jamaah JIM dan ia kena pada kondisi dan keperluan amal Islami JIM.

Setiap gerakan Islam ada keutamaan masing-masing berdasarkan kemampuan ahli dan materi dakwah mereka. Individu-individu sedar juga memiliki keutamaan mereka yang tersendiri. Adakah wajar kita menghina sesuatu gerakan Islam hanya kerana mereka tidak menggariskan isu bahasa Melayu? Jika kita menganggap kita memahami teras idealisme Melayu Islam, kita tidak akan mengeluarkan kenyataan menghina rakan sepetugas agama.

Ini kerana ia sikap sekular. Persoalan saya yang terakhir, adakah kita mengkaji hingga mendalam benarkah gerakan itu tidak berjuang isu yang kita gariskan? Adakah kita benar-benar ikhlas berjuang kerana Allah? Kajilah sejarah gerakan Islam di Malaysia. Bacalah sirah perjuangan cara Rasulullah dan Sahabat. Kita akan mengetahui awlawiyyah dalam pertimbangan kerja-kerja Islam.

Kata Imam Malik , kita tidak berjaya mengikut satu amal bagi seorang anbiya' pun walaupun kesemua amal kita hari ini dikumpulkan serentak. Kegopohan dan gejala ghulu' (melampau) serta isti'jal (melulu) adalah antara punca kita jauh daripada perjuangan Islam malah kita mungkin menikam kebangkitan Islam di tanah kita berdiri.-azm

(Penulis adalah Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Pulau Pinang) _

Baca Lagi...

Monday, December 22, 2008

sedetik dibawah pancaran hidayat.

Hari demi hari berlalu ,mencari cahaya panduan yg dapat menerangi kegelapan sanubari, kemanisan iman perlu dihargai dan dipelihara demi kesinambungan kekuatan dalam meneruskan kehidupan sebagai pejuang.lumrah alam,hidup tidak selalunya cerah ,ada masa ketika kekuatan memuncak Dia seolah berhadapan menemani hidup,membelai penuh kasih sayang,rindu padaNya tiada batasan ,Dia lah cintaku,Dia lah segalanyaNamun ianya bersifat sementara, ku nodai cintaNya,ku lari ketika cinta mula didamba,ku curang akn cintanya,
ku lemah menghadapi percintaan ini,ku tak sanggup dgn kerenah percintaan penuh dgn pengorbanan,tp itu lah hakikkat percintaan perlu kepada komitmen yg berterusan utk mengekalkan kecintaan pada kekasih ku.ku tahu ku perluNya ,perlukan CintaNya.ku perlu kebahagiaan bersamaNya,tanpaNya tiada erti hidup ku,ku tahu Dia tidak berharap kasih ku,Dia cinta ku,Dia tidak perlukan ku.Dia lengkap segalanya,namun aku selemah-lemahnya,sehinggakan ku terpaksa bersandar diatas kasih sayangNya serta bertaut berpegang dgnNya........tp,kini aku hilang ,aku hilang arah dek kerana kecurangan terhadap cintaNya.
Dia tidak putus-putus memberi ku pelbagai kesenangan,kemudahan dan keselesaan walaupun dengan kecurangan yg telah aky lakukan ,Dia sentiasa mencurahkan kasih sayangNya pada ku walaupun dalam khianat yg telah ku lakukan,Dia tetap dengan sifat yg sangat-sangat pemurah walaupun Dia sangat-sangat tahu ku telah merobek cinta yg telah diberikanNya.
Orang ketiga?,ya,orang ketiga yang cuba memisahkan kami,percintaan agung yg tiada nilaiannya.Di tawarkan dengan pelbagai keenakkan ,dihiasi dgn pelbagai kesempuranaan,dipujuk rayunya dgn penuh kesungguhan.Akhirnya,aku tewas hidangan yg terpampang di depan mata ,ku tidak mampu menolak hidangan yg akn memisahkan ku dgnNya
Pernah ku berjanji padaNya utk setia,jujur bersamaNya demi cinta agung ini demi kehidupan akhir yg gemilang serta kebahagiaan yg hakiki.Dia turut berjanji bersama ku akan memberi apa-apa saja kemahuan yg ku inginkan sekiranya kesetiaan yg ku dambakan terhadap cinta kepadaNya.
Orang ketiga,ya, ku terpedaya dengan keenakkan sementara ,ku tergoda dengan janji-janji kosong yg merosakkan cintaku padaNya.Tergambar ketika dulu ,lafaz-lafaz cinta keramat yg ku ucap padanya utk berkorban bersamaNya pada ketika susah atau senang,jelas ia hanya satu omongan kosong penuh dgn ......

Baca Lagi...

Monday, December 1, 2008

Perjuangan bukan dihampari permaidani merah

Salam,sahabat ,artikel ini telah diambil dari laman Web harakahdaily.net utk kemaslahatan semua . selamat membaca.

Perjuangan bukan dihampari permaidani merah
Ustaz Idris Ahmad


'Jangan tanya bila Islam akan memerintah tetapi tanya bila masa kita menyumbang kerja-kerja untuk kemenangan Islam. Perjuangan bukan dihampari dengan permaidani merah tetapi dihampari dengan onar dan darah.

Al-Quran merupakan kitab suci terakhir diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Apabila turunnnya kitab ini maka segala syariat yang terdapat di dalam kitab yang lain termansuh. Inilah hebatnya al-Quran yang diturunkan kepada nabi kita Muhammad s.a.w. yang merupakan nabi akhir zaman.

Keunikan al-Quran yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak kerana ia adalah kitab suci yang kekal sehingga hari kiamat. Ia dibawah peliharaan Allah Yang Maha Agung.

Al-Quran bukan buku novel biasa yang penuh khayalan, jauh sekali buku penglipur lara, tetapi ia adalah kalam Allah yang tidak boleh ditiru oleh orang kafir Quraisy yang hebat dari segi kesusasteraan mereka yang sering dipamerkan di pasar �Ukaz. Allah menjadikan Nabi Muhammad s.a.w. seorang yang ummi, jauh sekali seorang ahli sastera.

Kita sebagai anggota jemaah Islam di negara ini yang sudah meletakkan asas yang kukuh di dalam perlembagaan parti PAS, bahawa rujukan kita ialah al-Quran, hadis, ijma� dan qias.

PAS boleh berjalan sampai kini kerana kita ada rujukan yang asas iaitu al-Quran. Kita tidak pernah hanyut walaupun kita di landa tsunami, taufan dan banjir besar. Kerana kita mempunyai asas yang kukuh dalam perjuangan Islam iaitu al-Quran yang memberi aspirasi perjuangan kepada kita.

1. Al-Quran sebagai petunjuk

"Demikianlah al-Kitab yang tidak ada keraguan padanya memberi petunjuk kepada orang yang bertakwa." (al-Baqarah:2)

Al-Quran bukan diturunkan untuk memberi berkat kepada manusia sahaja, tetapi ia adalah panduan yang mesti dipegang oleh manusia di atas muka bumi ini agar ia tidak terpesong daripada hidup manusia.

Kalau manusia mengambil lain daripada apa yang ditunjukkan oleh al-Quran maka manusia tidak akan berjumpa jalan dan pedoman dan akan berada di dalam kesesasatan yang nyata. Petunjuk al-Quran adalah jelas yang tidak diselindungi falsafah yang berbelit dan cerita dongengan yang direka.

2. Al-Quran sebagai pembeza antara benar dengan yang salah.

Berpegang dengan al-Quran bermakna kita dapat membezakan antara yang benar dengan batil. Kerana al-Quran sebagai penyuluh yang terang, barang pasti ia tidak akan mengkaburkan peganutnya yang kuat berpegang dengan al-Quran.

Kita mampu menghadapi segala bentuk kepalsuan yang dijelmakan oleh musuh-musuh Islam untuk menyekat sokongan terhadap Islam di negara ini. Kita sudah barang pasti ingat bagaimana rakyat di Malaysia yang dikaburkan dengan program Islamisasi tajaan Dr Mahathir Mohamad waktu beliau menjadi Perdana Menteri.

Semua badan-badan dakwah menyokong apa yang kerajaan bawa dengan anggapan bahawa Islam menghijau pada zaman Dr Mahathir. Sewaktu itu PAS menentang arus walaupun kita hanya keseorangan, kerana orang lain semuanya kena ubat bius program Islamisasi. Akhirnya ijtihad PAS yang menentang arus tepat apabila peristiwa pemecatan Dato� Seri Anwar Ibrahim daripada Umno setelah 17 tahun dengan arus Islamisasi.

Sekali lagi rakyat di tipu melalui program Islam Hadhari yang dianjurkan oleh Dato� Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mula memegang jawatan Perdana Menteri. Pada peringkat awal ramai juga orang sudah terpukau, harapan baru kepada PM baru yang dianggap sebagai keturunan ulama, datuk dan ayahnya sendiri sebagai ulama yang tersohor di sebelah utara.

Harapan baru untuk rakyat Malaysia melihat Islam akan berkembang setelah kecewa dengan Dr Mahathir yang dianggap orang yang tidak boleh diharap memberi tumpuan kepada Islam.

Tetapi alhamdulillah PAS sebagai parti yang berpegang dengan al-Quran terus istiqamah menolak mentah-mentah Islam Hadhari. Maka terpaksa pihak kerajaan mengadakan bengkel untuk menolak hujah PAS.

Dengan berkat petunjuk al-Quran maka tidak berapa lama terserlah wajah manusia yang hipokrit yang hendak Islam dengan gambar Imam Islam Hadhari memegang perempuan dalam satu majlis dan disebar dengan meluas di internet, akhirnya Islam Hadhari sudah tidak relevan seperti juga Umno yang tidak relevan di persada politik tanah air.

Kita yakin Islam Hadhari ciptaan manusia akan mati kerana ia bukan Islam hak milik Allah SWT.

3. Al-Quran mengkhabarkan balasan orang yang dusta kepada Allah SWT

Semua ini menjadi pengajaran kita sebagai duat (pendakwah) perlu memberi pengajaran kepada masyarakat supaya jangan mengulangi tabiat kaum yang sudah dibinasakan oleh Allah SWT.

Pembalasan terhadap kaum yang mendustakan ayat Allah seperti melanda kepada kaum Nabi Nuh yang ditenggelami banjir besar sehingga habis zuriatnya, kaum Hud yang dilanda ribut taufan, kaum nabi Soleh ditimpa gempa bumi.

Kesemuanya ini alah gambaran yang Allah sebut di dalam al-Quran untuk menjadi pengajaran kepada kita supaya kita tidak mengulangi kesilapan mereka. Maka kita sebagai pendakwah perlu memberi amaran supaya masyarakat tidak terjebak dengan kancah kemurkaan Allah.

Sekarang ini negara yang dilanda dengan berbagai kesempitan rezeki (kenaikan barang keperluan), rompakan, pembunuhan di sana sini. Semua ini kerana maksiat yang dilakukan oleh manusia yang engkar kepada Allah. Kita yang tidak berdosa juga terpalit sama kerana angkara daripada perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab ini. Allah SWT telah menarik nikmat bahagia dan aman dalam negara ini.

Di Malaysia sekarang, kaya pun payah kerana perompak sentiasa mengintip ke mana kita dan keluarga pergi. Kalau miskin pun payah kerana sempit hendak berbelanja kerana kenaikan harga barang yang melimpah melambung.

Allah menarik nikmat kerana manusia yang tidak bersyukur kepada Allah walaupun negara kita ini dilimpah dengan nikmat yang banyak seperti petroleum, kelapa sawit, balak, getah, mutiara dan pelbagai lagi. Tapi tidak cukup, walaupun rakyat hanya 26 juta sahaja. Ini adalah bala yang Allah melanda negara kita pada hari ini.

4. Motivasi kepada pendakwah

Al-Quran menjelaskan bahawa mereka yang berjuang di jalan Allah dijanjikan kemenangan di atas muka bumi ini. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai Muhammad) bahawa dia akan menjadikan mereka khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah yang berkuasa dan dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka yang telah diredai-Nya untuk mereka dan dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh)." (al-Nur: 35)

Kemenangan adalah janji Allah, dan pasti akan diperolehi oleh mereka yang berjuang di atas agama Allah sebagaimana Allah memulakan dengan lafaz wa�ada bermaksud "telah menjanjikan" di mana kemenangan dunia kepada orang yang beriman dan beramal soleh apabila tiba masanya.

Jangan tanya bila Islam akan memerintah tetapi tanya bila masa kita menyumbang kerja-kerja untuk kemenangan Islam. Perjuangan bukan dihampari dengan permaidani merah tetapi dihampari dengan onar dan darah.

Janji ini bukan sahaja di tulis dalam al-Quran malahan dicatat dalam kitab Zabur Nabi Daud AS lagi. Firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya�: 105 �Sesungguhnya telah kami wartakan dalam kitab Zabur selepas peringatan bahawa bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba yang soleh.�

Pesanan al-Syahid Syed Qutb pernah menyebut "kebatilan nampak kuat, tetapi tidak kekal, manakala kebenaran nampak lemah tetapi akan kekal." -Hrkh

(Penulis adalah Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Pusat) _

Baca Lagi...