Tuesday, October 13, 2009

Cubaan jahat Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) pada program Pmram?

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Segala puji bagi Allah tuhan sekelian alam, Selawat dan salam buat junjungan Nabi SAW dan ahli keluarga Baginda yang tercinta, serta seluruh sahabat Ridhuwanullah alaihim Ajma`in.


Dukacita dimaklumkan kepada semua ahli yang telah mendaftarkan diri untuk menyertai Majlis Pembacaan Kutub Sittah (siri pertama) yang akan diadakan pada 17 -20 Oktober 2009 ini telah cuba digagalkan oleh Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK).

Namun begitu PMRAM selaku penganjur program akan berusaha sedaya upaya bagi memastikan program ini akan dapat dilangsungkan seperti yang dirancang.

Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan berkaitan program tersebut, sila dapatkan maklumat terkini di laman web rasmi PMRAM, www.pmram.org ataupun di portal rasmi kutub sittah, www.kutubsittah-pmram.blogspot.com . Segala penjelasan dan maklumat terkini berkaitan permasalahan tersebut akan dijelaskan pada hari Khamis ini bersamaan 15 Oktober 2009.

PMRAM memohon segala kerjasama daripada seluruh ahli PMRAM agar bersama-sama berdoa dan bersolat hajat supaya majlis tersebut berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang.


Sekian,

Mohd Adlan bin Mokhtaruddin
Pengarah Majlis Pembacaan Kutub Sittah PMRAM 2009.

sumber:www.pmram.org

Persoalan penulis :Adakah sekiranya program Isma atau nadi umno juga cuba di gagalkan pihak jpmk?apa itu kutub sittah?program tari menari?Program hiburan hujung minggu? Lu piki la sendiri bak kata nabil!!!

Baca Lagi...

Monday, October 12, 2009

SIAPA YANG MENYEMAI BENIH KEBENCIAN DAN PERMUSUHAN SEBENARNYA?? PMRAM atau ISMA??

SIAPA YANG MENYEMAI BENIH KEBENCIAN DAN PERMUSUHAN SEBENARNYA?? PMRAM atau ISMA??


Assalamualaikum semua...

Aku baru terbaca entri terbaru dari seorang sahabat aku tadi... Dia menyatakan kesedihannya dengan apa yang berlaku sekarang ini. Isu yang kian menjadi2 saat ini. Aku yang menetap di DPM Mansurah ini juga terasa bahangnya. Apatah lagi berlaku juga peristiwa yang memalukan di DPM Mansurah ini.

Aku begitu tertarik bila dia menyatakan kesedihannya. Antara ayatnya yang masih aku ingat,

"mengapa perlu menyemai kebencian dan permusuhan."

Aku tertanya2 di saat ini,siapakah yang sebenarnya menyemaikan benih2 kebencian dan permusuhan kala ini?? PMRAM atau ISMA sendiri?? PMRAM sudah wujud sejak zaman berzaman lagi. Sudah berapa generasi pemimpinnya silih berganti. Jasa dan pengorbanannya usah dikira lagi. Tak terbayar dengan mata wang. PMRAM wujud sebelum duta Malaysia ada lagi. ISMA?? Kalau tak silap aku tahun 1997 baru ditubuhkan(kalau salah tolong betulkan). Sekarang ini aku bukannya nak ceritakan tentang perpaduan ISLAM. Sebab aku tahu dan yakin, PMRAM,ISMA,NADI UMNO,ABIM atau sebagainya sudah tahu tentang perkara ini. Tapi yang aku nak cakap kan ini ialah tentang sikap kita! Sikap kita bila berhadapan dengan beberapa perkara. Bukanlah aku nak menyalahkan mana2 pihak secara pukul borong. Tetapi ada bukti dan fakta. Sama ada berlaku di BKAN atau DPMM sendiri. Aku yang berada di DPM Mansurah alami sendiri perkara ini. Yang berlaku di BKAN Terengganu baru2 ini, kamu boleh rujuk sendiri blog2 yang hangat membicarakan tentang isu ini.

Aku pula ingin menceritakan apa yang berlaku di bumi Mansurah ini pula. 'Penculikan secara terhormat' pun berlaku. Mengapa begini?? Aku nak tanya benar2 kepada ISMA Mansurah khususnya. Kenapa boleh jadi begini?? Kami bersama organisasi USMB DPMM telah bermesyuarat dan melakukan perjumpaan beberapa kali semata2 ingin memudahkan proses pengambilan pelajar2 baru qiroat ke Mansurah. Tapi yang menyedihkan bila sampai saja di Mansurah, kamu(ISMA Mansurah) mula menunjukkan belang kamu. Dan sekarang sememangnya kamu benar2 berani menunjukkan 'kebiadapan' kamu kepada kami(DPMM). Adakah kami hanya perlu berdiam diri dan melihat saja ia berlaku?? Oh tidak... Tidak sama sekali! Aku yang dilantik sebagai pengarah UNIT AMAL KAMSIS takkan membiarkan kamu meneruskan 'kebiadapan' kamu ini. Benar kami(UAK) katakan. Kami takkan biarkan sama sekali.

Yaa benar. Di dalam kelompok pelajar2 baru itu ada yang ISMA dari Malaysia lagi. Tapi bila mereka sampai di sini sahaja,perlulah 'membai'ah' kepimpinan pelajar di sini pula. Sedangkan kamu juga yang melaung2kan 'perpaduan atas nama ISLAM'. Tapi kamu juga yang melanggarnya. Bila kami bising sekarang ini,kamu mula memainkan selogan 'bersatu atas nama Islam'. Wah,memang manis ayat kamu itu. Sepatutnya kami(PMRAM) yang mengatakan kepada kamu(ISMA) sewaktu diawal penubuhan kamu di bumi Mesir ini. "Kenapa tak bersatu saja bersama kami?? Kenapa berdegil juga ingin berpecah belah bersama persatuan kamu itu??"

Jika kamu mengatakan tidak pernah membuahkan bibit2 perpecahan dengan kami,kenapa perlu adanya adegan 'penculikan terancang' ini?? Sehinggakan kepimpinan DPMM turun padang pun kamu masih tidak menghiraukan mereka?? Siapa yang kurang ajar di situ?? Jika benar kamu yang hebat melaung2kan 'marilah bersatu di atas nama ISLAM' itu,kamu tak sepatutnya 'menculik' pelajar2 baru semata2 ingin menghalalkan matlamat kamu itu??? 1 mesir sudah maklum bahawa peranan DPMM sejak dahulu lagi sememangnya bertindak sebagai 'DEWAN' menguruskan kebajikan pelajar2 baru. Tapi kamu dengan muka tak malu masih lagi ingin berkeras menegakkan 'benang yang basah'. Kenapa DPMM lagi berhak dengan pelajar2 baru?? Kerana kita ini di Mesir. Bukan di Malaysia. Yaaa,jika di Malaysia,kamu boleh gah dengan ISMA kamu. Tapi bila kita berada di sini,keadaan itu berubah. DPMM lebih diketahui wujudnya dengan 'mabahis'. Amnu Daulah lebih tahu siapa dia pengerusi DPMM daripada 'gabenor' ISMA di Mansurah ini! Data2 pelajar Malaysia di sini,telah di rekodkan oleh pengerusi sendiri dan pengerusi sendiri yang berurusan dengan pihak keselamatan di sini. Bukannya ISMA mahupun siapa2. Bukannya nak berbangga dengan 'nama' PMRAM. Tapi itulah hakikatnya. Tak boleh terimakah kenyataan ini?? Kerana apa tak boleh terima?? Kerana 'bodoh sombong' menguasai diri.!! Maaf aku cakapkan. Aku benar2 geram dengan apa yang telah berlaku di Mansurah kala ini. Sehinggakan kini,pelajar2 baru nak keluar rumah pun kami kena awasi. Sebab ISMA Mansurah bila2 masa saja akan 'menculik' mereka. Aku reka cerita kah?? Tidaaaak!! Ini realiti yang sedang berlaku sekarang ini di Mansurah. Sudah berlaku 'pergelutan' untuk menarik pelajar baru.

Jika benar pun kamu 'kelapaq' sangat dengan pelajar2 baru,biarlah pihak DPMM menguruskan dahulu urusan pengajian mereka. Kamu merasakan kamu juga mampu menguruskan mereka?? Kamu mampu juga kerana kamu 'Maliziy' seperti kami. Sedangkan pihak keselamatan tak pernah tahu bahawa kamu ini persatuan yang tidak di iktiraf! Cubalah sedar realiti ini. Kehidupan kita di sini tak sama di Malaysia. Sepatutnya ISMA Malaysia perlu menyatakan begini pada kamu semua sebelum datang ke Mesir ini,

"Kita di Mesir nanti ada satu persatuan yang akan menjaga pula kebajikan kita di sana iaitu PMRAM. Di sana nanti mereka pula mengambil berat tentang kita. Jadi atas dasar bersatu atas nama Islam,maka kami(ISMA Malaysia) inginkan supaya kamu 'membai'ah' pula kepimpinan di sana. Jangan berpecah belah."

Jika ayat ini yang disarankan kepada pelajar ISMA sebelum datang ke sini, aku percaya isu hangat yang sedang berlaku sekarang ini takkan terjadi. Bukan aku nak menyatakan PMRAM ini betul dan benar sentiasa. Ada kelemahan ia. Jadi kita yang nampak kelemahan ini,sama2lah perbaikikan. Tapi kamu??? Tetap dengan ISMA kamu dan akhirnya membantutkan urusan DPMM itu sendiri.

Aku bukannya nak bermusuh dengan ISMA Mansurah. Sebab mereka juga kawan2 aku. Bukannya aku tak kenal. Bahkan kami baik. Tapi bila dah jadi benda sebegini,aku tak boleh biarkan. Sekarang kamu pula menyatakan kesedihan kamu kerana sikap kamu sendiri. Siapa yang inginkan permusuhan?? Bukannya kamu tak tahu peranan DPMM(PMRAM) selama ini. Kamu nak 'menculik' mereka seolah2 kami ini hari2 menyakitkan jasad mereka. Menyakitkan hati mereka. Kamu masuk rumah kami dan 'mencuri' barang2 kami. Bila kami ingin ambil tindakan terhadap kamu, kamu pula meminta kasihan pada kami. Dan akhirnya nanti orang akan lihat bahawa kami sebagai tuan rumah inilah yang menzalimi kamu. Kamu inginkan begitukah??? Kamu2....
Sekarang tanyalah diri masing2........Siapakah yang menyemaikan benih2 kebencian dan permusuhan itu???

sumber:http://menjejakharapan.blogspot.com/

Baca Lagi...

KENYATAAN RASMI YANG DIPERTUA KPT TERHADAP PERISTIWA SAMBUTAN MAHASISWA BARU


KENYATAAN RASMI YANG DIPERTUA KPT (BKAN WISMA TERENGGANU)
INFO WISMA BKAN TERENGGANU 9OKTOBER 2009: Assalamualaikum pada semua pembaca.Entri untuk beberapa waktu ini,admin lebih kepada percambahan idea-idea mahasiswa mesir sama ada dari bawah iaitu mahasiswa biasa yang tidak berkecimpung dengan dunia kemahasiswaan dan tidak pro mana-mana pihak and ahli-ahli biasa, hinggalah keatas sekali iaitu kepimpinan mahasiswa, what i want to tell all of you,kita tengok percambahan-percambahan pendapat dan idealogi mahasiswa timur tengah ni.Terbaru,boleh dikatakan baru jugalah, post dari YDP/yang dipertua BKAN wisma terengganu penerangan atas peristiwa atau kes yang berlaku baru-baru ini berkaitan penculikan pelajar baru(USMB).Selamat membaca kepada semua
====================================================================
KENYATAAN RASMI YANG DIPERTUA KPT TERHADAP PERISTIWA SAMBUTAN MAHASISWA BARU

Salam hormat daripada kami Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi yang berada di Mesir yang sentiasa peka terhadap apa yang berlaku ke atas kami sebagai Anak-Anak Terengganu yang dinafikan hak untuk menyambut mahasiswa-mahasiswa baru yang tiba ke mesir beberapa hari lepas.


Sebagai sebuah badan kebajikan anak-anak negeri (BKAN), maka semestinya badan ini bertanggungjawab penuh ke atas kebajikan sesiapa sahaja dari kalangan Anak-Anak Terengganu yang berada di mesir ini untuk mendapatkan pertolongan dan kebajikan daripada kami.

Malangnya apa yang berlaku disebaliknya iaitu dinafikan hak oleh pihak yang berkenaan untuk menguruskan kedatangan mahasiswa-mahasiswa baru di bawah Yayasan Terengganu sepertimana kebiasaan yang berlaku zaman berzaman.

Kronologi-kronologi yang berlaku bolehlah tuan-tuan merujuk blog-blog yang disiarkan oleh ahli-ahli KPT untuk pengetahuan umum. Cuma di sini saya ingin menyatakan kekesalan dan dukacita terhadap apa yang berlaku daripada peristiwa-peristiwa berikut :

1. Amaran pihak berkenaan kepada salah seorang exco supaya tidak pergi menghadirkan diri ke lapangan terbang untuk menyambut mahasiswa baru.

2. AJK sambutan telah dilantik oleh pihak berkenaan daripada kalangan BUKAN anak-anak Terengganu (daripada kumpulan ISMA dan lain-lain).

3. Pengabaian kebajikan mahasiswa yang baru tiba :

- Terus dibawa jaulah ke sekitar kaherah dan ke Sinai (yang sepatutnya diberi masa rehat terdahulu kepada mereka untuk menyesuaikan diri dengan cuaca, keadaan dan sebagainya.
- Pengabaian terhadap makan dan minum sehingga ada yang mengadu lapar kepada kami.
- Tiada khidmat musyrif sepenuh masa sebagaimana yang disediakan oleh kami zaman berzaman yang menyebabkan keselamatan tidak terjamin.

4. Maklumat yang tidak tepat disampaikan kepada mahasiswa baru mengenai penempatan bahawa tiada kekosongan bilik di Asrama Terengganu kerana mahasiswa-mahasiswa lama tidak mahu mengikut arahan yang telah dikeluarkan. Maka disini saya nyatakan bahawasanya kami telah menyediakan bilik-bilik untuk penginapan kepada semua yang baru tiba termasuk juga kepada rombongan yang kedua tiba bukan sepertimana maklumat yang diberikan.

5. Pengabaian terhadap waktu-waktu solat menyebabkan sebahagian mahasiswa baru terpaksa menqadakan solat.

6. Menyembunyikan tarikh ketibaan mahasiswa-mahiswa baru daripada KPT dan menyembunyikan program-program mereka daripada pengetahuan KPT, akan tetapi yang peliknya kenapa ia dipelopori oleh kumpulan-kumpulan ISMA dan orang perseorangan yang dipilih oleh pegawai dan bukan dari persatuan anak Terengganu sendiri?

Maka dengan berlakunya peristiwa-peristiwa seperti ini , Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu ingin menyatakan kekesalan dan amat dukacita terhadap kejadian ini yang sepatutnya ia tidak berlaku sekiranya tiada campur tangan dari pihak luar akan tetapi kerana campur tangan inilah berlakunya keadaan yang tidak stabil.

Maka di sini kami ingin menyatakan mesej dan memberi teguran dan peringatan kepada pihak-pihak yang berkenaan supaya tidak lagi mengulangi perkara ini untuk tahun-tahun akan datang dan ianya mesti bertindak dengan kebijaksanaan dan perlu melihat keadaan semasa bukan semata-mata mengikut kepentingan seseorang atau sesuatu pihak yang menyebabkan ia memburukkan suasana dan juga memburukkan diri kita sendiri.

Kepada ahli-ahli KPT khasnya yang bertungkus-lumus untuk menjayakan sambutan ini, saya mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi penghargaan atas komitmen yang begitu tinggi yang telah ditunjukkan oleh ahli. Dan untuk umumnya saya mengharapkan sokongan penuh daripada ahli-ahli kepada KPT terhadap kenyataan ini dan juga sokongan penuh terhadap agenda-agenda dan aktiviti-aktiviti yang akan dibawa pada masa akan datang.

Sekian sahaja, wassalam.

MOHD SHAFIZI BIN ISMAIL
Yang Di-Pertua
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu 08/09

Baca Lagi...

Monday, October 5, 2009

PERJUANGAN DALAM JEMAAH PAS





Monday, March 27, 2006
USTAZ NASHARUDIN MAT ISA


Kemunculan Gerakan Islam (harakah Islamiyyah) di seluruh dunia amat diperlukan sebagai suatu force yang akan memastikan hukum Allah SWT terlaksana di atas muka bumi setelah jatuhnya Khilafah Islamiyyah. Dari segi syara' ia adalah suatu kewajiban umat Islam berdasarkan nas al-Qur'an dan juga hadith Rasulullah SAW. Setiap gerakan Islam di dalam sesebuah negara mempunyai peranan pentingnya. Dari segi teori, sebaik-baiknya ada SATU gerakan di dalam sesebuah negara demi perpaduan, menjimatkan



Namun realiti yang berlaku hari ini menunjukkan kemunculan banyak kumpulan Islam yang masing-masing mempunyai haluan yang tersendiri, termasuklah di negara kita.

Dalam konteks Malaysia, PAS adalah satu satunya pilihan sebuah jemaah Islam yang perlu didokongi untuk merealisasikan tugas dan tanggungjawab seperti yang telah disebutkan diatas.

Setiap ahli PAS hendaklah memahami hakikat bahawa dia adalah merupakan anggota kepada sebuah jemaah Islam yang menjadikan politik sebagai wasilah untuk sampai kepada satu matlamat yang besar.

Setiap ahli PAS adalah anggota kepada sebuah jamaah Islamiyah global yang berperanan ditapak tempat dia berdiri.

Kita lihat AS dan UK sering berkempen di pentas dunia betapa bahayanya Iraq kepada dunia. Mereka merantau ke seluruh dunia termasuk negara-negara Islam di Asia Barat meyakinkan pimpinan negara-negara Islam bahawa perang yang akan mereka lancarkan ''bukan perang terhadap Islam tetapi pengganas Islam.''

Oleh itu, kita lihat mereka lebih bersikap global apabila menyerang Islam. Tetapi masih ramai umat Islam masih tidak menyedari hakikat ini malah mereka sering bercakaran di antara satu sama lain dan mengambil pula takrif Islam dari sumber yang tidak ada asal usulnya dalam Syariah Islam dalam menangani isu dan maalah mereka sendiri. Akibatnya umat Islam ibarat menumpang dinegara sendiri.

Oleh sebab kuasa-kuasa kuffar bergabung secara global, maka umat Islam dunia juga mesti merencana strategi secara global untuk menangkis serangan pihak kuffar. Di sinilah peranan yang boleh dimainkan oleh Gerakan Islam.

Allah SWT telah mengizinkan beberapa Gerakan Islam di dunia menang bertanding dalam pilihanraya di negara masing-masing - di Turki, Lebanon, Mesir dan banyak lagi termasuk kita di Malaysia.

Pentas demokrasi yang diizinkan perlu diambil kesempatan oleh semua Gerakan Islam dunia supaya suara Islam dibenarkan berkumandang di dewan parlimen masing-masing.

Ini suatu kewajiban yang diizinkan oleh syara' malah dituntut oleh syara' dalam konteks dan ruanglingkup dakwah. Inilah pentas politik yang dapat digunakan untuk berdakwah.

Cabaran Yang Dihadapi Umat Islam
Umat Islam kini berada di ambang tekanan yang amat hebat oleh negara-negara yang diperintah oleh orang-orang Islam sendiri termasuklah Malaysia. Dengan itu, Gerakan Islam berhadapan dengan dua musuh:

(i)kuasa kuffar dan
(ii)pemerintah Islam sendiri.

Di dalam negara, pemimpin negara sering menonjolkan pelbagai agenda berlabelkan Islam yang amat mengelirukan ummah, menguatkuasakan pelbagai undang-undang, mengawal masjid-masjid, memporak-porandakan sistem pendidikan Islam dan mengubahkannya supaya menjadi sistem pendidikan formal biasa dan berbagai-bagai lagi.

Di luar negara imej Islam dilabel sebagai pengganas yang tidak mengenal erti kemanusiaan, ajaran sesat, songsang, fundamentalist dan sebagainya.

Dalam suasana ini intima' dan iltizam kita kepada jemaah menjadi berlipatkali ganda. Kekentalan jatidiri sebagai anggota sebuah jemaah Islam mestilah dijadikan perisai setiap ketika untuk menangkis cubaan yang merupakan saringan terhadap keikhlasan kita memperjuangkan Islam ini.

Kehadiran kita didalam jemaah ini bukan secara kebetulan tetapi satu kewajipan untuk memperjuangkan Islam. Kekuatan dalaman ini akan hanya dapat dilaksanakan jika sekiranya urusan tarbiyah menjadi agenda utama setiap ahli.

Tarbiyah hendaklah dilihat dalam aspek nya yang luas yang akan melahirkan pejuang dan bukan hanya sekadar pemidato. Tarbiyah akan melahirkan keyakinan bahawa apa yang sedang kita lakukan ini adalah merupakan satu jihad yang akan pasti menerima kemenangan diakhirat selain mencari kemenangan didunia.

Jemaah yang kita dokongi ini adalah jemaah yang telah lima puluh tiga tahun menjalani proses berbagai untuk menambahkan keyakinan kita terhadap perjuangannya.

Kalau ada kekurangan, kita yang akan membaikinya. Kalau ada kelemahan kita yang akan memperkasakannya. Jemaah ini adalah milik kita untuk diajak pula mereka yang berada diluar sana bersama dengan kita.

'Sebagai sebuah jamaah Muslimin dan wadah kepada perjuangan ummah, PAS adalah satu dari mata rantai gerakan lslam seluruh dunia. la bersama-sama dengan lhkwanul Muslimin di Mesir, Jamaat al-lslami di benua kecil lndia, Hamas di Palestin dan lain-lain harakah lslam di seluruh dunia, menawarkan khidmat kepada umat lslam supaya bangun bersama lslam dan mewujudkan corak hidup lslam.

PAS telah membuktikan ketabahannya dalam menghadapi apa juga cabaran dan rintangan. Dan PAS telah mentarbiyahkan ahli dan penyokongnya supaya mengutamakan kepentingan parti dan jamaah dari yang lain-lain serta terus beristiqamah, berakhlak mulia dan sentiasa mencerminkan syakhsiyah lslam. Juga meletakkan budaya dan ciri-ciri kenegaraan lslam di dalam setiap diri.

Pendokong gerakan lslam mestilah menjadi contoh yang baik untuk diteladani dalam apa juga bidang. Perlu diingat bahawa melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan adalah sebahagian dari ibadah.

Ahli-ahli gerakan lslam hendaklah sentiasa merasakan diri terpanggil apabila berlaku sesuatu peristiwa yang memerlukan khidmat dan pembelaan lslam serta hendaklah peka terhadap setiap perkembangan dan kejadian.

Setiap pendokong gerakan lslam hendaklah dari masa ke masa memperbaiki akhlak serta mempertingkatkan ilmu disamping sering bermuhasabah atau memeriksa diri sendiri.

Justeru itu, peribadi dan akhlak ahli-ahli PAS secara langsung mencerminkan suatu dakwah yang boleh menarik dan memikat masyarakat untuk bersama mendokong perjuangan PAS.

Ahli-ahli PAS berkewajipan melahirkan tanggapan positif masyarakat terhadap PAS. Mereka wajib mempertahankan nama baik jamaah sehingga segala prasangka dan tanggapan negatif masyarakat terhadap PAS dapat dihapuskan.

Mereka yang berpandangan positif terhadap perjuangan PAS layak untuk bersama PAS, dan pintu PAS sentiasa terbuka kepada mereka.

Seseorang lslam yang berhasrat untuk berjihad dan ingin memberi sumbangan kepada agama dengan apa yang ia mampu dan mereka yang ingin melihat lslam didaulatkan, serta insaf akan masalah dan himpitan yang dihadapi oleh lslam dan umatnya, dan berazam untuk mencari keredhaan Allah, maka mereka ini akan dapat bersama dengan PAS dan perjuangan ke arah tadi.

Ketika PAS muncul di awal penubuhannya lalu, politik lslam dianggap asing oleh sesetengah pihak. la dianggap tidak wajar wujud dan tidak secucuk dengan zaman.

Undang-undang lslam dilupai dan tidak mungkin dikemukakan semula. Tetapi hari ini, suka atau tidak suka, semua pihak di luar PAS sama ada dari dalam atau luar negara telah menerima hakikat bahawa adanya politik lslam.

Malah kini ada yang sudah pandai menyebut siasah syariah, maqasid syariah dan beberapa istilah lagi yang telah diperkenalkan oleh para ulama lslam sejak dari abad awal hijrah lagi.

Konsep siasah dalam lslam sudah menembusi telinga, tembok batu dan bangunan cermin di seluruh dunia. la adalah satu kejayaan hasil dari perjuangan gigih umat lslam dan harakahnya yang tidak pernah mengaku kalah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ''Demi Tuhan bahawa agama ini (lslam) akan sampai ke mana juga selagi mana sampainya malam dan siang''.

Kita yakin semua aspek dalam perbendaharaan lslam akan menjadi agenda yang bertambah penting bagi semua pihak termasuk mereka yang masih menaruh prasangka terhadap lslam.

Justeru itu, kita jangan jemu dan penat untuk menerus dan meningkatkan perjuangan supaya para petualang tidak menguasai suasana dengan menggunakan modal lslam dan kita jangan sekali-kali membiarkan politik dan suasana menguasai lslam, tetapi perjuangkanlah supaya lslam menguasai politik dan suasana.

Sejarah manusia sepanjang zaman mengesahkan betapa getirnya pertarungan antara golongan yang berkuasa dengan yang lemah. Golongan yang lemah ditindas dan dizalimi sekalipun mereka berada di pihak yang benar.

Golongan yang berkuasa pula biasanya memiliki kekuatan dan keupayaan yang tidak mampu disaing oleh golongan lemah. Mereka bukan sahaja dapat menguasai rakyat melalui kuasa yang ada, malah mereka menundukkan rakyat melalui tipu helah yang bertopengkan kebaikan dan kepentingan rakyat (umum).

Fenomena ini terus berjalan dari zaman ke zaman. la adalah sandiwara hidup yang dipentaskan di dunia, cuma yang bertukar ialah pelakonnya sahaja.

Sejarah lslam telah memaparkan melalui kisah-kisah al-Quran dan Sunnah tentang kepedihan dan ranjau-ranjau yang pernah dilalui oleh para anbia dan Rasul-rasul a.s. serta pengikut-pengikut mereka dalam menyampaikan risalah Allah kepada manusia.

Firman Allah yang bermaksud:
''Dan mereka tidak menyeksa orang-orang Mukmin itu melainkan kerana orang-orang Mukmin itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa Lagi Maha Terpuji'' -(al-Buruuj: 8).

Golongan yang mahukan kepada lslam seringkali dihina, dicemuh, ditohmah, difitnah dan berbagai lagi tindakan yang dilakukan oleh golongan kuffar yang berkuasa. Golongan ini terus menolak seruan yang dibuat sekalipun seruan dan dakwah itu untuk kebaikan mereka di dunia dan di akhirat.

Al-Quran telah memaparkan peristiwa pertarungan antara Nabi lbrahim a.s. dengan Namrud, Nabi Musa a.s. dengan pemerintahan Firaun dan akhirnya antara Nabi Muhammad SAW dengan pemimpin-pemimpin yang berkuasa di Mekah.

Semua peristiwa ini menjadi contoh bagi meningkatkan keyakinan kita dalam perjuangan lslam yang kita dokong selama ini.

Sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW yang memakan masa lebih dari dua dekad adalah contoh terdekat untuk kita renungi dan pelajari.

Para rasul sebelumnya hanya menghadapi satu barisan musuh sahaja iaitu kekuasaan dan kekuatan kuffar setempat.

Keadaan ini berlainan dengan suasana yang dihadapi oleh Nabi Muhammad SAW, di mana baginda terpaksa berhadapan dengan pelbagai kuasa kuffar dari dalam dan luar disamping penyatuan barisan di kalangan mereka yang mendakwa sebagai Muslim iaitu golongan munafiqin dengan kekuatan kuffar dalaman yang terdiri daripada kaum Yahudi dan musyrik Arab.

Meskipun demikian, seluruh barisan musuh telah dapat dipatahkan, malah ramai dari pengikut golongan kuffar telah memeluk lslam dan menerima ajarannya yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW itu, bahkan ikut memperjuangkannya pula.

Firman Allah yang bermaksud:
''Dan katakanlah yang benar telah datang dan yang bathil telah hilang lenyap. Sesungguhnya yang bathil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap'' - (al-lsra': 81).

Sungguhpun Rasulullah SAW telah meninggalkan kita 14 abad yang lalu, tetapi risalah lslam terus berjalan dan berkembang.

Generasi demi generasi terus mempertahankan risalah lslam dan memperjuangkannya dengan menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran sama ada dalam bentuk yang sama seperti yang dihadapi oleh Rasulullah SAW atau cabaran dalam bentuk baru.

Sesungguhnya, musuh-musuh lslam mempunyai matlamat untuk menghancurkan lslam dan kekuatan ummahnya.
Firman Allah yang bermaksud:
''Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang kafir tidak menyukainya'' - (at-Taubah: 32).

Hari ini gerakan lslam atau harakah lslam terus mewakili cabaran yang pernah dihadapi oleh Rasulullah SAW.

Suasana yang dihadapi kian hari kian meruncing. Pendokong gerakan lslam kini terdiri daripada manusia biasa, keupayaan yang mereka miliki adalah terhad.

Sementara penentang-penentang lslam semakin rakus dan ganas. Dalam keadaan serba terhad ini kita menghadapi gabungan kekuatan kuffar dan munafiqin serta konspirasi hebat mereka.

Penentang gerakan lslam hari ini telah mempelajari pengalaman yang pernah dialami oleh kuasa kuffar dunia bahawa selagi mereka menentang lslam secara terbuka dan menggunakan kekerasan, selama itulah umat lslam tidak akan kecundang atau tunduk kepada mereka.

Oleh itu mereka telah mengubah strategi yang dianggap sebagai baru iaitu dengan menunjukkan bahawa mereka bersimpati dengan lslam dan nasib ummahnya, malah ada di antara mereka yang mendakwa bahawa merekalah pejuang lslam yang sebenar.

Mereka menuduh gerakan lslam sebagai golongan yang menyeleweng, ekstrim, pelampau dan sebagainya.

Mereka menonjolkan kepentingan maddi dan duniawi yang dapat mempesonakan orang-orang awam biasa dengan berselindung di sebalik slogan-slogan pembangunan yang kononnya selari dengan ajaran lslam.

Mereka menggunakan lslam untuk menentang lslam. Mereka mulai mencari ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang kononnya menyokong tindakan-tindakan mereka.

Mereka melaksanakan program yang berbentuk agama yang dapat memberikan keuntungan kebendaan dan keduniaan, tetapi membiar dan merelakan kemungkaran dan kemaksiatan bermaharajalela di hadapan mereka.
Allah telah berfirman yang bermaksud:
''Dan demikianlah kami adakan pada tiap-tiap negeri penjahat-penjahat yang besar agar mereka melakukan tipu daya dalam negeri itu. Dan mereka tidak memperdayakan melainkan dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya'' - (al-An'am: 123).

Kita hendaklah sedar bahawa apa juga bentuk rancangan jahat yang telah diatur oleh mereka bagi menghalang dan menentang lslam tidak mungkin berjaya, sebaliknya lslam akan terus berkembang dan mara ke hadapan.

''Dan sesungguhnya mereka telah membuat rancangan jahat mereka (untuk menentang lslam) sedang di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka, walaupun rancangan jahat mereka itu dapat melenyapkan gunung-ganang'' - (lbrahim: 46).

Dalam konteks negara kita Malaysia, PAS sebagai satu wadah perjuangan ummah hendaklah meneruskan perjuangan tersebut demi untuk keagungan lslam dan menegakkan perintah Allah di atas muka bumi ini.

Justeru itu, PAS hendaklah tetap dengan identitinya disamping berkewajipan pula menyatu dan meningkatkan lagi perpaduan di kalangan ahli dan penyokong-penyokongnya.

Dengan kesepaduan sokongan daripada ahli-ahli dan penyokong, PAS bukan sahaja mampu menghadapi lawan dengan mudah, malah boleh mengerunkan pula mereka.

Untuk mengekal dan meningkatkan perpaduan, semua ahli dan penyokong-penyokong PAS bermula dari peringkat pimpinan atas hinggalah kepada ahli-ahli biasa hendaklah sentiasa patuh dan taat kepada setiap arahan jamaah walaupun arahan-arahan itu berat dirasai.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ''Menjadi kewajipan atas setiap Muslim mendengar dan mematuhi sama ada dalam perkara yang ia suka atau tidak suka''.

Perlu ditegaskan bahawa PAS mempunyai syakhsiyahnya tersendiri dan ia bergerak serta berjuang mengikut peraturan dan khittah parti. Apa yang PAS lakukan adalah kesinambungan kepada apa yang pernah dilakukan oleh para pemimpin yang terdahulu.

Sebagai jamaah yang mempunyai sikap dan syakhsiyahnya, perjuangan PAS tidak mungkin boleh dijual beli.

Atas sebab-sebab itu maka PAS, tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana pihak sekiranya ia boleh menjejaskan dasar dan syakhsiyah PAS. Sungguhpun demikian, PAS tetap mengamalkan sikap terbuka.

PAS sedia berunding dan berbincang dengan sesiapa sahaja demi kebaikan ummah sama ada dari dalam atau luar negara.

PAS bukanlah sebuah gerakan yang memencilkan diri seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Di dalam negara, PAS telah bekerjasama dengan parti Melayu Semangat 46, Berjasa dan Hamim bagi membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

PAS bekerjasama dengan parti-parti ini kerana mereka menghormati dasar perjuangan PAS. Sebaliknya PAS tidak dapat bekerjasama dengan UMNO dan seumpamanya yang tidak dapat menerima dan menghormati dasar PAS.

Sementara diperingkat antarabangsa pula, PAS mempunyai hubungan yang baik dengan beberapa gerakan lslam, dan hubungan ini begitu rapat sekali. PAS bersama gerakan tersebut (lslam) adalah kerana mereka memiliki dasar dan aspirasi matlamat yang sama dengan perjuangan PAS.

PAS juga sentiasa bersama-sama dengan umat lslam di mana-mana sahaja, terutamanya mereka yang ditindas, didera dan dizalimi.

PAS pernah menyokong umat lslam di lran kerana PAS yakin mereka dizalimi. PAS juga bersama umat lslam di lraq dalam menghadapi pakatan jahat Amerika dan sekutu-sekutunya dahulu.

Komitmen PAS terhadap perjuangan umat lslam Palestin, Kashmir, Bosnia-Herzegovina, lndia, Rohingya, Moro Filipina, Afghanistan, Chechen dan lain-lain tetap tinggi, malah semakin meningkat.

Apa yang PAS lakukan adalah berdasarkan kepada ajaran lslam itu sendiri, di mana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

''Tidak beriman di antara kamu sehingga ia mengasihi saudaranya seperti mana ia mengasihi dirinya sendiri''.

Apabila PAS menyokong mana-mana negara lslam atau gerakan lslam, bukanlah bererti PAS telah diperalatkan oleh mereka.

Sekali lagi dinyatakan bahawa PAS mempunyai visionnya yang tersendiri. PAS juga mempunyai dasar dan sikapnya sendiri. PAS tidak bersedia untuk diperalatkan oleh mana-mana pihak dan PAS tidak mungkin menerima sebarang arahan dari mana-mana pihak sama ada dari dalam mahupun luar.

Dasar dan pegangan PAS tidak lain adalah memperjuangkan lslam. Dasar ini tidak pernah berubah dari dahulu hinggalah sekarang.

PAS bergerak dan bekerja adalah untuk kedaulatan lslam. PAS terus menjadikan lslam sebagai landasan perjuangan dan menjadikan lslam sebagai matlamat gerak kerjanya.

PAS juga tidak pernah bercadang untuk mengikut jejak langkah orang lain yang sentiasa berubah dasar perjuangan mereka.

Strategi BA yang menggabungkan PAS-Keadilan-DAP-PRM pada peringkat permulaan ditubuhkan dikira amat bertepatan dengan realiti politik semasa Malaysia dalam konteks menentang BN dan jika ditakdirkan Allah, akan menumbangkan BN dan BA akan memerintah pula.

Sebelumnya, semua parti pembangkang berdiri sendiri dan menentang BN yang menggabungkan banyak parti.

Namun pada Pilihanraya November 1999, strategi BA telah menampakkan hasil dan PAS mengekalkan Kelantan, berjaya menakluk Terengganu dan hampir menakluki Kedah.

Kedudukan PAS dalam BA telah diputuskan oleh Majlis Syura dan Dewan 'Ulama'. Ia juga mengambil kaedah at-Tahalluf as-Siyasi yang dibenarkan.

Selain kebolehan dari segi syara', BA mempunyai beberapa kebaikan kepada PAS, di antaranya:

(a)Kekuatan pembangkang akan disatukan dari segi politik. Ini ternyata amat membimbangkan BN.

(b)PAS dapat mengeksport idea Islamnya kepada parti-parti lain yang bergabung dengannya di bawah BA terutama kepada kaum bukan Islam. Ini sangat penting dari segi politik jangka panjang. Dengan kata lain, melalui BA pun, PAS sedang berdakwah.

(c)Malaysia adalah sebuah negara bermasyarakat majmuk. BA adalah latihan awal bagi PAS untuk memahami kepelbagaian kaum di bawah satu entiti politik. Dulu kita pernah ada CCC, namun ia cuma sebuah unit kecil di dalam PAS. Namun dengan adanya BA, runglingkup politiknya lebih luas dan lebih mencabar.

PAS berpandangan kesepakatan poltik BA perlu diteruskan. BA yang mendapat sokongan kuat Almarhum Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd. Noor akan diteruskan sehinggalah diputuskan sebaliknya oleh Majlis Syura dan Dewan 'Ulama' PAS sama ada PAS akan kekal dalam BA atau keluar daripadanya.

Prospek entiti politik BA amat cerah jika perpaduan pelbagai parti dalam BA dapat dikawal dan persefahaman yang baik dapat dijaga. Jika BN kekal sehingga kini, maka BA pun boleh malah lebih baik daripada BN, insya' Allah.

Satu aspek penting yang tidak boleh kita lupai ialah hakikat bahawa PAS mesti mengambilkira suara bukan Islam/Melayu dalam konteks Malaysia.

Suara Islam PAS mesti benar-benar difahami oleh rakyat bukan Islam/Melayu. Kita berpendapat bahawa, disebabkan fahaman Islam sebenar telah berjaya dimainkan oleh media antarabangsa dicampur dengan tafsiran sekular yang dibawa oleh UMNO telah mencemarkan Islam yang suci.

Inilah tugas berat yang telah, sedang dan akan terus dipikul oleh PAS di Malaysia.

Setiap petugas PAS mesti memberikan komitmen yang menyeluruh terhadap perjuangan PAS dalam rangka menegakkan kalimah Allah di Malaysia. Penglibatan PAS dalam politik kepartaian adalah salah suatu wasilah perjuangannya mengambilkira sistem demokrasi yang membenarkan ia bertanding dalam pilihanraya setiap 4 atau 5 tahun.

Kewajiban kita bertambah apabila kita diberi mandat oleh dua negeri, iaitu Kelantan dan Terengganu untuk diperintah oleh PAS. Maka inilah ujian yang Allah SWT anugerahkan kepada kita dalam bentuk ''kemenangan sementara''.

Jika kita berjaya lalui ujian ini, maka diuji lagi iaitu memerintah sebuah negara bernama Malaysia!

Melihatkan senario ini, maka adalah menjadi kewajiban setiap petugas memahami perjuangan PAS sepenuhnya.

Rakyat sudah muak dengan sepak terajang politik murahan UMNO serta sekutunya dalam BN.

UMNO sanggup menggadai maruah Islam dan Melayu dalam memastikan ''the end justifies the means''. ''Inilah UMNO yang kita kenal dari dulu, sekejap menjadi kawan, tetapi lebih lama jadi lawan'' mengungkap kembali kata-kata almarhum Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor, pimpinan yang meletakkan asas BA.

Penutup
Apapun dan bagaimana jauhnya langkah kita dalam pentas dakwah, pentas politik dan BA, namun Islam yang menjadi dasar pegangan kita dalam parti PAS tidak boleh dicemari.

Jika berlaku percanggahan di antara prinsip-prinsip Islam dengan strategi, maka yang perlu dipinda ialah strategi dan uslub dan bukannya dasar Islam kita.

Inilah adalah asas kita dan kita tidak boleh menggadaikan asas Islam kita walaupun atas dasar strategi politik semasa untuk meraih undi!

Ingat bahawa PAS masih sebuah Gerakan Islam dan bukan hanya semata-mata sebuah parti politik yang berdaftar dengan Akta Pertubuhan.

Baca Lagi...