Monday, April 27, 2009

2 Tok Guru Kesayangan Ummah


Akhir - akhir ini agak keterlaluan sikap sesetengah dikalangan kita .

Melalui blog , kenyataan akhbar , ucapan di tempat awam , meeting tidak rasmi kedai kopi dan sebagainya jelas kedengaran mereka mengutuk salah seorang dari 2 Tok Guru kesayangan ummah ini .

Kalau musuh yang berbuat demikian , tidaklah menghairankan saya tetapi sangat malang dan cukup menyedihkan apabila ianya dilakukan oleh mereka yang mendakwa kononnya mereka juga anggota gerakan Islam .



Ucapan mereka biadab , tingkah mereka kurang ajar , tanggapan mereka jahat , lidah mereka lancang dan perbincangan mereka langsung tidak beradab , dengan hilai tawa mereka perlekehkan ulama' kita . Saya sungguh sedih dengan perkembangan sebegini . [ bukanlah ulama' itu tidak boleh dikritik tetapi Islam adalah agama yang kaya dengan adab susila atau disiplin yang mesti dipatuhi .]

Tetapi , apabila saya mengamati susur galur penglibatan mereka dengan gerakan Islam ini ternyata mereka adalah seorang yang tidak komited dengan amal Islami dan mereka gagal mengambil sepenuhnya skima pentarbiyyahan daripada manhaj perjuangan parti ini .

Mungkin sebahagian mereka adalah pimpinan tetapi mereka memanjat tangga kepimpinan parti ini melalui populariti peribadi atau kelicikan politik , tidak melalui proses pentarbiyyahan fikrah dan spiritual yang mantap . Biasanya mereka ini sangat memandang jelek kepada aktiviti - aktiviti tarbiyah dan rimas untuk turut sama menyertai gerakkerja kerohanian parti .

Kesannya ialah kepada sikap dan akhlak mereka berjamaah . Mereka menyertai gerakan Islam ini dalam keadaan separa sedar . Antara keinginan untuk berjuang dengan membawa masaalah atau beban kepada jamaah .

Mereka juga gagal memahami disiplin berjamaah dan adab ikhtilaf . Tidak hairanlah apabila berlaku perbedaan pandangan antara 2 tok guru ini , mereka segera berpuak dan menganggapnya sebagai satu perbalahan . Walhal bagi mereka yang berilmu dan bertaqwa , khilaf adalah perkara yang telah berlaku sejak zaman para sahabat rhm dan mereka tanganinya dengan sisplin yang sangat tinggi tanpa meretakkan rasa hormat mereka kepada siapa jua yang berkhilaf dengan mereka .

Jika kita selalu membaca kitab - kitab feqh mahupun kitab - kitab Tayyarat Fikriyah , kita akan dapati khilaf yang begitu banyak dikalangan ulama' , tetapi mereka lalui pengalaman khilaf ini dengan aman berpaksi kepada nilai ilmiah yang bertanggungjawab dan amanah . Malah kita akan temui bagaimana antara satu sama lain mengungkap rasa kagum mereka terhadap ilmu dan taqwa orang yang berkhilaf dengan mereka .

Tiada cemuhan dan celaan melampau kecuali dalam sempadan akhlak dan disiplin yang dibenarkan seperti perbahasan dalam ilmu tajrih wa ta'dil .

Kejahilan turut menyumbang kepada fenomena ini . Biarpun mereka adalah anggota gerakan Islam , kejahilan akan mengheret mereka terjerumus dalam kancah perlecehan akhlak dan sikap sedemikian . Justeru itu , kejahilan dalam apa jua keadaan sekalipun mestilah dibasmi . Kita tidak boleh menerima pemimpin dan anggota gerakan Islam dibiarkan kekal dalam kejahilan . Pada saya kejahilanlah ibu kepada segala masaalah yang timbul .

Tuan Guru Nik Aziz yang saya kenali

Apa pun isu yang timbul , sepatutnya kita bersabar dan tidak segera menari dengan paluan gendang musuh untuk melaga - laga antara kita terutama 2 tok Guru kesayangan ummah ini .

2 Tok Guru ini adalah permata yang tiada tara nilainya kepada ummah . Sewajarnya kita support perjuangan mereka bukan melaga dan menjatuhkan mereka . Sebelum ini saya telah menceritakan sepintas lalu pengalaman juang bersama Tok Guru Hj Hadi yang cukup bagi menampakkan kepada kita betapa sebagai anggota gerakan Islam ini , kita tidak boleh terburu - buru berprasangka terhadapnya

Tiada bezanya nilai yang dimiliki oleh Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat . Sejak awal sewaktu menuntut di madrasah Ad Diniah Al Bakriah Pasir Tumboh , saya selalu ke kelas Tok Guru Nik Aziz atau lebih mesra dengan panggilan Ayah Ziq di Pulau Melaka dan juga di Dewan Zul [ pejabat PAS ] Kota Bharu .

Saya membesar dengan didikan dan curahan ilmu Ayah Ziq selain guru - guru kesayangan saya yang lain seperti Al marhum Tuan Guru Atiqullah , Tok Guru Ayah Shim , Ustaz Bakar dan Ustaz Rahim di pondok .

Ayah Ziq memang seorang sangat genius dan istemewa. Hujjah dan ilmunya cukup menarik dalam setiap ulasan dan kupasan yang dipersembahkan kepada murid - muridnya . Selain dari hidupnya diabadikan kepada kepada ilmu Ayah Ziq juga mewaqafkan diri kepada perjuangan Islam dan kukuh keiltizamannya sehingga kini .

Pernah sewaktu saya mengunjungi rumah Ayah Ziq seketika dulu , Ayah Ziq menceritakan pengalamannya sebagai ahli parlimen , seorang diri memandu jauh ke Kuala Lumpur dan seorang diri pula mewakili PAS dalam parlimen ketika itu . Ayah Ziq menghadapi segala fitnah dan tohmahan Barisan Nasional berseorangan di parlimen berbanding hari ini lebih 80 ahli parlimen yang siap menggempur UMNO dan BN .

Ayah Ziq kata , kadang - kadang ana menangis seorang diri ketika memandu mengenangkan penatnya badan dan letihnya jasad mengharungi perjuangan yang sukar dan getir ini . sampai di rumah lewat - lewat malam atau awal pagi selepas memenuhi undangan ceramah di serata negara .

Dulu pastinya tidak seperti sekarang . Apabila kita sampai ke tempat ceramah , kita akan disambut meriah bagai hero atau wira . Dulu kata Ayah Ziq , terkadang orang tak jamu nasi pun , lepas ceramah balik sampai ke rumah lewat malam , isteri pun sudah tidur , masuk ke dapur tidak ada makanan lalu tidur dengan perut lapar dan mengalir air mata sementara ia belum lelap .

Begitulah antara cebisan cerita Ayah Ziq kepada saya [ yang masih segar dan mekar dalam ingatan ] semasa saya mengunjungi Ayah Ziq di rumahnya lebih 18 tahun yang lalu .

Saya cukup menghayati kisah itu kerana saya yang dhaif ini pun cuba meletakkan diri dilandasan perjuangan seperti Ayah Ziq dan saya mula aktif bersama PAS malah mula berceramah sejak usia saya 18 tahun .

Ayah Ziq seorang pejuang yang wara' dan zuhud pula sangat menekuni ibadah . Memandang wajahnya dalam - dalam , membuatkan jiwa kita hidup dan segera insaf atas kealpaan diri . Betapa kalau Ayah Ziq mengungkap kata - kata . Cukup indah dan tinggi nilai hikmahnya . Peribadi Ayah Ziq membuatkan UMNO dan BN lumpuh khas di Kelantan .

Ayah Ziq juga suka menyantuni tok - tok guru yang lain termasuk Ayah Chik yang dianggap tok guru sezaman dengannya . Ayah Ziq pernah menemplak mereka yang memperkecilkan Ayah Chik . Ayah Chik disebut sebagai seorang ulama' besar , lidahnya fasih dan ilmunya tinggi , nak cari seorang sepertinya di Malaysia hari ini tak akan kita temui ... demikianlah kata Ayah Ziq yang masih saya ingat .

Saya percaya , 2 Tok Guru ini sangat ikhlas dalam perjuangan mereka bahkan antara mereka berdua sangat rapat dan saling memahami manhaj perjuangan yang didokong . Tidak mungkin mereka boleh bertelagah . Khilaf mereka dalam pendapat yang bertunjangkan hujjah . Mereka bukan berkelahi atau bergaduh seperti sesetengah orang kita yang bertembung sampai tidak tahu batas akhlak dan hilang nilai persahabatan atau ukhuwwah Islamiyah .

Khilaf ilmi dan hujjah menjadi satu keajaiban para ulama' yang tidak mungkin difahami oleh orang yang jahil . Khilaf menjadi cambahan ilmu yang positif bagi ulama' tetapi sering dibaca pergaduhan dan perbalahan oleh sang juhala' . Akhirnya timbullah para munafik yang akan mengapi - apikan suasana untuk memanmaskan lagi suasana dan kekeliruan bagi masyarakat .

Akhirnya dalam ruang yang terhad ini , suka saya pesan agar jangan sekali - kali kita memberi ruang kepada para juhala' ini membuat onar dalam jamaah . Sebolehnya kita bimbing mereka , jika tidak berkesan , tindakan disiplin perlu dikenakan kepada mereka yang sering menghuru harakan jamaah dengan tindakan mereka yang tidak thiqah kepada pimpinan dan juga tidak wala' kepada jamaah jauh sekali untuk beradab dengan para ulama'
sumber:http://episodeperjuangan.blogspot.com/2009/04/2-tok-guru-kesayangan-ummah.html

Baca Lagi...

Friday, April 10, 2009

Ukhwah Islamiyyah






UKHWAH ISLAMIYYAH



قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :
"لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه مايحب لنفسه"
(رواه البخارى)

Maksudnya:
“Tidak beriman (sempurna) seseorang kamu,sehingga dia kasihkan (sesuatu) kepada saudaranya apa yang dia kasihkan untuk dirinya sendiri.”


Tentunya sudah kita maklumi,menjadi kewajipan dan tanggungjawab kita menyelaras serta menyempurnakan kaedah ukhwah yang Allah aturkan kepada kita,dengan sebaik-baik aturan.Marilah sama-sama kita menghayatinya berlandaskan keimanan dan keikhlasan serta cinta kepada Allah taala semata-mata dan bukanlah kerana harta,pangkat dan kecantikan sebagai ukurannya.Seandainya ukhwah sentiasa dibajai,akan terbentuklah satu perpaduan yang erat,yang sukar digoyah oleh musuh-musuh Islam yang sentiasa mencari jalan merosakkan persaudaraan di kalangan umat Islam.Hanya dengan terlerainya ukhwah musnahlah cita-cita Islam.
Tidakkah kita sedari,nun jauh disana ,di Timur dan di Barat ,syaitan laknatullah bersorak gembira dek lerai dan rapuhnya ukhwah ummah Nabi Muhammad s.a.w.Sanggupkah kita ditertawakan dan di permain-mainkan oleh musuh-musuh Islam itu?tepuk dada tanyalah iman ! Dalam kesempatan yang berharga ini,marilah kita merenungi sepotong hadis yang mempunyai erti besar dalam kehidupan kita sebagai seorang muslim,apatah lagi bagi mereka yang melibatkan diri dalam harakah Islamiyyah.

عن أبي هربرة عن النبي صلى الله عليه وسلم أن رجلا زار أخاه في قرية أخرى فأرصد الله له على مدرجته ملكا,فلما أتى عليه, قال أين تريد,قال : أريد أخالي في هذه القرية,قال هل لك عليه من نعمة تربهاز قال :لا غير أني احيبته فى الله عز وجل قال : فاٍ ني رسول الله اليك بأن الله قد أحبك كما احيبته فيهز
(رواه مسلم _صحيح مسلم بشرح النووي , باب فضل الحب في الله تعالى – ج 16 ص123)

Maksudnya :
“Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w.:
Seorang lelaki menziarahi sahabatnya di sebuah kampung yang lain, lalu Allah memerintahkan seorang malaikat menunggunya di pertengahan jalan.Tatkala lelaki itu tiba kepada malaikat,lalu malaikat itu pun bertanya :”Saudara mahu ke mana ?” Lelaki itu menjawab: “Saya ingin menziarahi sahabat saya yang tinggal di kampung ini .” Malaikat itu bertanya lagi :”Adakah saudara datang kepadanya kerana ada maslahat tertentu?: lalu lelaki itu menjawab :”Tidak ,saya datang kepadanya semata –mata kerana mencintai sahabat saya itu kerana Allah.” Lalu malaikat menjawab :”Sesungguhnya aku ini utusan Allah yang di utus kepadamu bagi memberitahu bahawa Allah telah mencintai kamu sebagaimana saudara mencintai saudara itu kerana Allah.”




Dalam hadis ini,secara jelas Allah Taala ingin menunjukkan kepada manusia betapa besarnya hubungan persaudaraan di kalangan hambaNya.Sekiranya hubungan persaudaraan mereka itu timbul daripada keihklasan yang diikat dengan keimanan.Dengan erti kata lain,persaudaraan yang erat sesama muslim adalah dituntut kerana mereka berpaut kepada satu aqidah,tidak dikaitkan dengan kepentingan duniawi semata-mata.Hadis ini juga menganjurkan kepentingan ziarah-menziarahi sesama mereka yang seaqidah.
Kerenggangan Persaudaraan Umat Islam Kontemporari.

Perhubungan persaudaraan umat Islam kini terlalu renggang.Mereka tidak lagi diikat oleh persaudaraan yang hakiki iaitu persaudaraan berteraskan keimanan dan islam yang jitu terhadap Allah sebaliknya kini persaudaraan mereka adalah berteraskan materealistik,kumpulan,kelab dan sebagainya sehingga menyebabkan dengan mudah musuh-musuh Islam menghancurkan Islam sedikit demi sedikit.

Umat Islam kini lebih suka bersengketa dan bermasam muka sesama sendiri walaupun larangan syarak berhubung dengannya terlalu banyak samada dari nas
Al-Quran mahupun hadis.Misalnya dalam surah Al-Hujurat :

( اٍنما المؤمنون اٍخوة فأصلحوا بين أخويكم واتقوا الله لعلكم ترحمون) –الحجرات :10 –

Maksudnya :
“ Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara,maka damaikanlah diantara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu,dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Dalam ayat ini,Allah taala telah menghubungkan persaudaraan dengan rahmatNya.Ini bermaknya runtuhnya persaudaraan di kalangan umat Islam adalah satu bala.Sama-samalah kita menyemai dan menguatkan kembali ukhwah Islamiyah dikalangan kita hanya kerana Allah s.w.t.

sumber:http://halaqah.net/v10/index.php?topic=686.new

Baca Lagi...